Education

Genius Cilik STEM serlah kreativiti murid Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara, Kodiang

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Sharmila Karim dan Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid

KODIANG, 11 November 2025: Program STEMCamp “Genius Cilik STEM” yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Program ini disertai oleh 100 murid Tahun 6 dan mendapat tajaan utama daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Dr. Hashibah berkata, matlamat utama penganjuran adalah untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan aktiviti dan permainan.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah “Geometrik Congak Genius”, yang menekankan penerokaan konsep bentuk geometri secara interaktif. Dalam aktiviti ini, setiap murid menerima satu kotak berisi stik, bola dan kiub bermagnetik, serta diberikan tugasan untuk membina rekaan tiga dimensi di atas papan bermagnetik.

Murid kemudiannya menganalisis reka bentuk berdasarkan parameter tapak binaan, jumlah komponen yang digunakan, dan mengira kos bahan. Justeru aktiviti ini bukan sahaja bersifat kreatif tetapi juga bermatematik.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya menarik minat murid untuk berfikir secara kritis, inovatif dan analitik dalam menghasilkan rekaan tiga dimensi.

Pada masa yang sama, aktiviti ini mencetuskan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan menyerlahkan potensi kreativiti pelajar sekolah rendah di daerah Kodiang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button