Campus

UUM tekad lahirkan insan global berakar nilai tempatan

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 11 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) tekad melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang di pentas dunia, tetapi tetap berpegang teguh kepada nilai dan jati diri tempatan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, matlamat universiti itu bukan sekadar menyerahkan segulung ijazah kepada pelajarnya, sebaliknya memastikan setiap graduan mampu menjadi insan seimbang yang bersedia menghadapi cabaran global tanpa melupakan akar budaya sendiri.

Menurutnya, graduan UUM dilatih dengan pelbagai kemahiran penting seperti penguasaan bahasa, celik digital, pemikiran kritis dan kebolehan bekerja dalam pasukan pelbagai latar belakang serta budaya.

Menurutnya, kemahiran ini ibarat angin yang meniup layar bahtera mereka, membolehkan mereka belayar jauh ke samudera global yang semakin terbuka.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam dunia tanpa sempadan hari ini, pergerakan modal insan Malaysia semakin ketara.

Kajian menunjukkan sekitar 5.6 peratus rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 1.86 juta orang, kini menetap di luar negara.

Data TalentCorp dan Bank Dunia pada April 2022 merekodkan seramai 281,000 rakyat Malaysia berada di empat negara utama, iaitu Australia (138,000), Amerika Syarikat (80,000), United Kingdom (39,000) dan Kanada (27,000).

Dr. Mohd Foad berkata, sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada pemegang ijazah sarjana muda yang berkhidmat dalam sektor profesional, menunjukkan keupayaan serta kebolehpasaran tinggi bakat Malaysia di luar negara.

Menurutnya, walaupun mereka merantau jauh, nilai tempatan perlu kekal menjadi akar yang membentuk jati diri, etika dan integriti mereka di mana sahaja berada.

“Apabila golongan profesional ini kembali ke tanah air, mereka membawa bersama pengalaman, teknologi dan kebijaksanaan baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Mereka bukan sekadar pewaris, tetapi jambatan yang menghubungkan Malaysia dengan dunia luar, mewujudkan jaringan global yang memperkukuhkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Berucap di sesi kelima Majlis Konvokesyen Ke-38 petang ini, beliau menegaskan bahawa graduan yang ingin dilahirkan UUM adalah “insan global berakar nilai tempatan” iaitu individu yang berfikir luas dan bertindak bijak di peringkat dunia, namun tetap berpaut pada nilai budaya serta identiti bangsa.

Petang ini, seramai 930 graduan menerima ijazah masing-masing bagi Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Sarjana Muda Sains Ekonomi, Sarjana Muda Perbankan dan Sarjana Muda Kewangan yang disampaikan oleh Naib Canselor di Dewan Mu’adzam Shah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button