SLCP rai graduan sulung tanda penghargaan
Berita dan gambar Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar
SINTOK, 12 November 2025: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Graduan Sulung di Dewan Pusat Penginapan Pelajar (SAC), UUM, sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan graduan pertama tiga program sarjana muda di bawah pusat pengajian tersebut.
Majlis ini disempurnakan oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie, dengan kehadiran mantan dekan, barisan kepimpinan akademik, pensyarah, staf pentadbiran serta para graduan sulung daripada program Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan dan Teknologi Maklumat (BLIT), Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) dan Sarjana Muda Sejarah Gunaan (BAH).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni SLCP, Dr. Mohd Ammyrul Ashraf Sairan berkata, majlis ini merupakan satu detik bersejarah bagi pusat pengajian kerana ia meraikan kumpulan pelajar pertama yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
“Graduan sulung adalah pelakar sejarah kami. Mereka mencerminkan kejayaan awal SLCP dalam melahirkan insan berilmu, berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Dekan SLCP, Dr. Mohamad Khadafi menekankan bahawa program ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi simbol hubungan yang berterusan antara tenaga pengajar dan pelajar.
Menurutnya, program Jejak Kasih merupakan jejak ilmu yang menghubungkan pelajar dan pensyarah. Syabas dan tahniah kepada anak sulung bagi ketiga-tiga program.

“Teruskan melangkah dengan integriti dan semangat. Anak sulung adalah duta dan contoh kepada anak-anak yang akan datang,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin, mencerminkan semangat kekitaan dan kebanggaan terhadap kejayaan generasi pertama SLCP.
Program yang bertemakan Jejak Kasih, Jejak Ilmu ini turut menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan antara pensyarah dan graduan, selain menzahirkan penghargaan terhadap usaha dan komitmen warga akademik serta pentadbiran dalam membangunkan komuniti ilmu yang harmoni. Antara pengisian utama ialah ucapan wakil graduan, tayangan video khas dan persembahan pelajar,
Seramai 250 orang peserta terdiri daripada pelajar, pensyarah dan staf pentadbiran hadir bagi memeriahkan majlis.
Dengan tema kasih dan ilmu sebagai tunjang, Jejak Kasih, Jejak Ilmu menjadi simbol ikatan kekal antara generasi pertama graduan SLCP dan warga akademik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam legasi kecemerlangan akademik Universiti Utara Malaysia.



