Campus

Ilmu, integriti dan inovasi menjadi teras kecemerlangan graduan UUM

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 12 November 2025: ‘Ilmu, Integriti, Inovasi: Teras Kecemerlangan Graduan UUM’ bukan sekadar rangkaian kata indah, tetapi menjadi falsafah yang membentuk roh Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan yang berilmu, berakhlak dan sarat nilai kemanusiaan.

Dalam ucapan sesi ketujuh petang ini, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menegaskan bahawa ilmu merupakan obor yang menerangi masa hadapan dan asas kepada kemajuan bangsa.

Menurutnya, sejak penubuhannya pada 1984, UUM telah berdiri teguh sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka di Malaysia dan rantau ini.

“Ilmu adalah kunci kemajuan. Negara-negara seperti China, Korea Selatan, dan Singapura telah membuktikan bahawa kecemerlangan bermula daripada kekuatan ilmu dan inovasi universiti mereka,” katanya.

Dr. Mohd Foad berkata, integriti pula menjadi tunjang kepada pembangunan karakter pelajar.

Di UUM, menurutnya, nilai integriti bukan sekadar slogan, tetapi diterapkan dalam sistem pengajaran, pembelajaran, dan kehidupan kampus.

“Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) dijadikan kursus teras bagi membentuk keperibadian luhur serta melahirkan graduan yang jujur, beretika dan berjiwa bersih.

“Graduan berilmu tanpa integriti ibarat kapal tanpa kompas. Tanpa arah yang benar, mereka akan hilang dalam lautan kehidupan,” katanya.

Seiring perkembangan dunia dalam arus Revolusi Industri 4.0, UUM turut memperkukuhkan ekosistem inovasi dan keusahawanan pelajar melalui pelbagai inisiatif.

Melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), lebih 200 projek pelajar dan staf telah dibimbing sejak tahun 2019 hingga mencapai tahap paten dan dikomersialkan.

Pendekatan berasaskan ilmu, integriti dan inovasi ini diyakini mampu menjadikan UUM terus unggul sebagai institusi yang bukan sahaja mencetak graduan cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga pemimpin berwawasan yang membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.

Pada petang ini, sebanyak 981 graduan menerima ijazah bagi program Sarjana Muda Undang-Undang, Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan, Sarjana Muda Pengurusan Awam, Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) – Ijazah berkembar, Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti, Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Sarjana Muda Pengurusan Acara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button