Campus

Pasangan suami isteri antara graduan rai kejayaan bersama di Majlis Konvokesyen UUM Ke-38

Gambar Ihsan Nik Nurul Fatima Az-Zahra Mohd Rosli dan Nor Asmida Mohd Noor

SINTOK, 13 November 2025: Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan sahaja menyaksikan kejayaan ribuan graduan bujang, malah turut menjadi detik bermakna bagi pasangan suami isteri yang meraikan kejayaan bersama-sama.

Antara yang diraikan ialah pasangan graduan, Nik Nurul Fatima Az-Zahra Mohd Rosli, 37, dan suaminya Mohd Rasif Sidi Ahmad, 38, di mana masing-masing menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan manakala Mohd Rasif dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains Kaunseling.

Nik Nurul Fatima berkata, mereka memilih untuk melanjutkan pengajian di UUM kerana universiti tersebut menawarkan struktur pengajian yang fleksibel dan sesuai untuk pelajar bekerja sepenuh masa.

“Saya memilih OYAGSB kerana reputasinya sebagai antara sekolah perniagaan terbaik di Malaysia dengan pengiktirafan antarabangsa serta pendekatan pembelajaran yang praktikal,” katanya yang merupakan Jurutera Kanan di Tenaga Nasional Berhad.

Mohd Rasif pula berkata, sistem semester dan kelas hujung minggu di UUM membantu mereka menyeimbangkan komitmen kerja, keluarga dan pelajaran.

“Pengalaman di UUM bukan sekadar untuk mendapatkan ijazah, tetapi juga perjalanan yang membina diri dan kerjaya.

“Antara kenangan paling berharga ialah peluang mengikuti program mobiliti universiti di mana isteri ke BINUS University di Jakarta dan saya ke Prince of Songkla University di Thailand,” katanya yang berkhidmat sebagai Penolong Pengurus di Telekom Malaysia.

Sementara itu, pasangan muda Nor Asmida Mohd Noor, 26, dan Afiq Amsyar Saifudin, 26, turut menzahirkan kesyukuran apabila masing-masing menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam Sarjana Muda Teknologi Media.

Asmida berkata, perjalanan mereka bukan mudah memandangkan kedua-duanya merupakan lepasan diploma, namun semangat dan sokongan bersama menjadi kekuatan utama.

“Kami saling menyokong dan beruntung mempunyai rakan sekelas yang baik serta pensyarah yang banyak membantu hingga kami berjaya memperoleh PNGK 3.81 dan 3.77,” katanya yang akan menerima ijazah pada sesi kelapan majlis konvokesyen tersebut.

Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM meraikan seramai 6,832 graduan dari pelbagai peringkat pengajian yang berjaya menamatkan pengajian mereka tahun ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button