UUM hargai kecekalan graduan PACE – Segulung ijazah datang bersama seribu pengorbanan
Gambar Shamsaimi Ezil
ALOR SETAR, 13 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap graduan Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) yang bakal menerima ijazah mereka pada Istiadat Konvokesyen ke-38, petang ini.
Dalam ucapan yang penuh makna, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menekankan bahawa kejayaan graduan bukanlah datang dengan mudah, malah disulami dengan pelbagai cabaran dan pengorbanan.

Menurutnya, ramai antara mereka merupakan pekerja sepenuh masa, ibu bapa, dan penjaga yang tetap cekal menyiapkan tugasan serta menghadiri kelas dalam talian walaupun dalam kesibukan kehidupan seharian.
“Ada yang belajar sambil bekerja, ada yang menyiapkan tugasan ketika anak-anak sudah lena, dan ada yang sanggup melepaskan saat-saat penting bersama keluarga demi menggenggam segulung ijazah,” kata di Majlis Makan Malam Graduan Program Separuh Masa PACE, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa apa yang dibawa pulang oleh graduan bukan sekadar segulung ijazah, tetapi nilai kesungguhan, disiplin dan daya tahan yang menjadi aset penting dalam dunia hari ini.

“Saya percaya, walaupun pembelajaran dilakukan dari jauh, nilai ilmu dan kredibiliti ijazah yang diterima adalah setanding dengan program konvensional,” katanya lagi.
Sejak tahun 2001, PACE telah melahirkan 18,177 graduan melalui Program Separuh Masa, dan pada konvokesyen kali ini, seramai 754 graduan bakal diraikan.
Dr. Mohd Foad turut menyeru graduan agar terus menjadi duta kepada universiti dengan menampilkan nilai-nilai murni, profesionalisme dan kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing, selaras dengan motto UU iaitu Ilmu, Budi, Bakti.

Majlis konvokesyen yang dijadualkan berlangsung petang ini bakal menjadi detik bersejarah bagi graduan yang telah menempuh perjalanan panjang penuh cabaran dan pengorbanan dalam menuntut ilmu.
“Apabila anda melangkah ke pentas konvokesyen, berdirilah dengan penuh bangga. Nikmatilah setiap saat, kerana itu adalah ganjaran kepada segala usaha dan pengorbanan anda selama ini,” katanya menutup bicara.
Turut diadakan penyampaian anugerah PACE kepada graduan cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Ke-38.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, UUM Holdings Sdn Bhd, Dato’ Mohd Zuhri Abdullah; Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar; Pengurus Besar UUM Leads Sdn. Bhd., Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don @ A. Wahab; Ahli Lembaga Pengarah UUM Holdings Sdn. Bhd. dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.



