Detik manis di pentas konvokesyen apabila ibu sebut nama anak sendiri terima ijazah
Gambar Ihsan Shahrul Niza Said
SINTOK, 13 November 2025: Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat detik penuh bermakna apabila salah seorang juruacara majlis, Shahrul Niza Said, berpeluang menyebut nama anaknya sendiri ketika majlis penganugerahan ijazah berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, semalam.
Dalam sesi ketujuh yang berlangsung pada petang Rabu, Shahrul Niza, yang merupakan Guru Bahasa di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) bertugas sebagai Juruacara Graduan Bahasa Melayu bagi majlis tersebut.

Beliau tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila tiba giliran anaknya, Zarriff Iman Nafidz Zahril Anwar, menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Menurutnya, pengalaman kali ini merupakan sesuatu yang amat berbeza dan akan dikenang sepanjang hayatnya.
“Setiap tahun saya menyebut nama ramai graduan, tetapi kali ini lain rasanya. Saat menyebut nama anak sendiri naik ke pentas, hati saya benar-benar tersentuh. Ia detik yang cukup istimewa dan membahagiakan sebagai seorang ibu,” katanya.
Majlis yang diadakan dengan penuh istiadat tersebut turut diserikan dengan persembahan muzik gamelan dan caklempong oleh kumpulan muzik universiti, serta disaksikan oleh ribuan tetamu dan para ibu bapa yang hadir di dalam dewan dan melalui tayangan skrin besar di ruang legar.
Kisah Shahrul Niza dan anaknya menjadi simbol kasih sayang serta pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak hingga berjaya, seiring dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa keluarga dan berakhlak mulia.



