Siri program pembangunan keusahawanan perkasa usahawan wanita Kubang Pasu
Berita dan gambar Dr. Juhaida Abu Bakar
SINTOK, 13 November 2025: Siri program pembangunan keusahawanan yang dirangka khusus untuk memperkasakan usahawan wanita sekitar Kubang Pasu di bawah Geran Boostpreneur-QUEEN – Quality Up-skilling and Empowerment for Entrepreneurial Nurturing telah menutup tirainya, baru-baru ini.

Program dibiayai oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah kategori Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) ini diketuai oleh Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan, dengan kerjasama para penyelidik bersama iaitu Dr. Juhaida Abu Bakar, Prof. Dr. Selvan a/l Perumal, Dr. Azrain Nasyrah Mustapa, serta Syahrina Abdullah.
Seramai sembilan peserta daripada Persatuan Wanita Inspirasi Mampan Jerlun, Persatuan Usahawan Wanita Bukit Kayu Hitam, dan USAHANITA Kedah telah menyertai program ini.
Mereka mengikuti siri bengkel yang meliputi Penghasilan Makanan Sejuk Beku, Keusahawanan, Kewangan, serta Pemasaran Digital, bagi memperkukuhkan kemahiran dan pengetahuan dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.

Majlis penutup turut disertai dengan penyampaian barangan keperluan perniagaan sebagai sokongan kepada peserta untuk meneruskan aktiviti perniagaan selepas selesai mengikuti kesemua bengkel yang dijalankan.
Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran pegawai CUIC yang hadir bagi mewakili CUIC serta memberikan sokongan kepada peserta.
Pengerusi USAHANITA Kedah, Patimah Sulai, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada UUM atas peluang dan sokongan yang diberikan dalam meningkatkan kompetensi usahawan wanita di negeri ini.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menggalakkan penyertaan wanita dalam aktiviti keusahawanan melalui program seumpama ini.
Seorang peserta, Zuraini Yahaya, turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan menyatakan tekad untuk meneruskan usaha dalam memperkukuh perniagaan melalui ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program.
Majlis penutup ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkasakan komuniti melalui kolaborasi industri-universiti, khususnya dalam usaha meningkatkan kualiti dan daya saing usahawan wanita di Kedah.



