General

Anak suku kaum Semai, Temuan buktikan kejayaan genggam Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan

Gambar Ihsan Ulnyzariza Jaliku

SINTOK, 13 November 2025: Kejayaan tidak mengenal usia dan ini dibuktikan oleh anak suku kaum Semai dan Temuan, Ulnyzariza Jaliku, 46, yang baru sahaja menamatkan pengajian Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.32.

Ketika ditemui pada majlis konvokesyen, Ulnyzariza tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan gembira setelah berjaya menamatkan pengajian tanpa mengulang mana-mana kertas.

“Finally, I did it without repeat paper!,” katanya sambil tersenyum lebar.

Menurutnya, sumber kekuatan utama yang membawanya ke puncak kejayaan hari ini ialah keyakinan diri dan semangat untuk berjaya di usia 46 tahun.

“Saya merebut peluang yang ada dan mencuba yang terbaik untuk diri sendiri. Saya percaya bahawa setiap usaha pasti ada hasilnya,” katanya yang menerima ijazah yang disampaikan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, petang ini.

Ulnyzariza berkata, kejayaan ini merupakan hadiah paling bermakna buat dirinya sendiri, serta buat insan tersayang yang sentiasa menyokong dari awal dia mula menyambung pengajian.

“Pertama sekali, hadiah ini untuk diri saya sendiri. Kedua, untuk ibu saya, Uda Armah Kana dan ayah, Jaliku Timon. Tidak lupa untuk suami dan anak tercinta, Aslan Atan dan Diyha Aslan, serta adik-beradik saya iaitu Tuwew, Tadien, Gero, dan Bell,” katanya penuh rasa syukur.

Anak kelahiran Kg Orang Asli Batu 12 Gombak, Selangor ini juga merupakan sebahagian daripada Suku Kaum Semai (Kg Orang Asli Tangkai Cermin, Perak) dan Temuan (Bukit Jenuk, Selangor).

Dia kini sudah berkhidmat selama 22 tahun dalam sektor kerajaan, bermula di Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) sejak 2003, dan kini bertugas di Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) sebagai pembantu tadbir kewangan.

Mengulas tentang tekadnya menyambung pengajian, Ulnyzariza berkata, keputusan itu dibuat untuk mencabar diri menjadi lebih baik serta membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu.

“Setiap hari pasti ada perkara baru yang perlu kita belajar dan saya percaya selagi ada keinginan, tiada apa yang mustahil.

“Saya berharap pelajar yang masih menuntut agar tidak mudah berputus asa. Semangat belajar, semangat untuk mengubah diri ke aras yang lebih tinggi. Kejarlah peluang yang ada. Pasti boleh!” pesannya penuh semangat.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Ulnyzariza dengan yakin menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya di UUM.

“Saya ada impian untuk sambung lagi sehingga ke peringkat tinggi di UUM,” katanya menutup bicara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button