Education

Wanita Kubang Pasu diperkasa melalui Program “Dari Impian ke Realiti” di bawah Geran Inovasi Sosial CUIC-UUM

Berita dan gambar Dr. Juhaida Abu Bakar

KUBANG PASU, 18 November 2025: Usaha meningkatkan kemahiran teknikal usahawan wanita di daerah Kubang Pasu terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan program “Dari Impian Ke Realiti: Kuasai Pemasaran Digital dan Pengurusan Kewangan dalam Keusahawanan Wanita di Kubang Pasu”, yang dibiayai oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS).

Program yang berlangsung pada 12 dan 14 Oktober lalu di Kolej Komuniti Darul Aman, memberi tumpuan intensif kepada latihan teknikal dalam penghasilan produk makanan berasaskan sejuk beku.

Kursus ini dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar berkemahiran tinggi dari Kolej Komuniti Darul Aman dan disertai oleh sembilan usahawan wanita daripada Persatuan Usahawan Wanita Bukit Kayu Hitam, Persatuan Wanita lnspirasi Mampan Jerlun dan dan Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia Cawangan Negeri Kedah (USAHANITA).

Sepanjang program berlangsung, peserta diberi pendedahan menyeluruh dan praktikal mengenai empat komponen penghasilan makanan sejuk beku yang mempunyai potensi tinggi untuk dikomersialkan.

Modul-modul tersebut meliputi penghasilan produk makanan kambing perap sejuk beku, penghasilan produk makanan sos perap sejuk beku, penghasilan produk makanan sate sejuk beku dan penghasilan produk makanan kuah kacang.

Modul ini memberi tumpuan kepada teknik memasak kuah kacang dengan resipi standard, kawalan keseimbangan rasa, kaedah memastikan jangka hayat produk, serta proses pembungkusan menggunakan teknik sesuai untuk dipasarkan sebagai produk sejuk beku.

Program ini bukan sahaja menekankan aspek penyediaan makanan, tetapi turut melibatkan penerangan terperinci tentang pengurusan kebersihan makanan, keperluan dokumentasi asas untuk produk makanan, serta penerapan elemen standard asas yang diperlukan sebelum sesuatu produk boleh dipasarkan secara lebih meluas.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Logasvathi Murugiahs berkata, kejayaan program ini jelas membuktikan kesungguhan tinggi dalam memperkasa kemahiran teknikal usahawan wanita.

Menurutnya, pencapaian ini bukan sahaja membuka ruang untuk peserta memperluas rangkaian produk dan meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah memberi mereka keupayaan menembusi pasaran makanan sejuk beku yang sedang pesat berkembang.

“Inisiatif seperti ini selari dengan aspirasi pembangunan komuniti setempat melalui inovasi sosial, di samping memperkukuh kedudukan ekonomi wanita secara mampan dan berterusan,” katanya.

Sementara itu, peserta, Ku Zetty Aznita Ku Othman berkata, program ini bukan sekadar latihan teknikal, tetapi satu platform pemerkasaan menyeluruh yang meningkatkan keyakinan diri usahawan.

Ku Zetty menekankan bahawa sokongan berterusan, bimbingan strategik dan pendedahan kepada teknologi pengeluaran moden akan membantu peserta membina jenama yang lebih kukuh serta bersaing secara profesional dalam industri.

“Kita mahu wanita bukan hanya mampu berniaga, tetapi mampu memimpin transformasi ekonomi komuniti mereka,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button