Education

Memacu Ekonomi Halal: Institut Pengurusan Halal (IHM) di Pusat Transformasi Usahawan NCER 2025

Gambar Dr. Nor Aina Mhd Khotib

PULAU PINANG, 18 November 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia telah terlibat sebagai pempamer dalam program NEST Synergy Summit 2025 yang berlangsung pada 1 November 2025 di PICCA Convention Centre, Butterworth.

Program ini dianjurkan oleh Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) melalui inisiatif NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST). Penyertaan ini mencerminkan komitmen IHM dalam memperkukuh ekosistem perniagaan halal di Wilayah Koridor Ekonomi Utara (NCER) melalui pelaksanaan pendidikan, khidmat konsultasi serta kerjasama strategik bersama pihak industri.

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, acara NEST Synergy Summit 2025 menampilkan penyertaan usahawan, pelabur, agensi kerajaan dan pemain industri yang berkumpul untuk memacu transformasi perniagaan di kawasan NCER, melalui strategi inovatif, sokongan terancang dan rangkaian usahawan yang sefikiran.

Menurutnya, program ini bertumpu pada teras pembangunan seperti kompetensi teknikal, kompetensi perniagaan, pengurusan kewangan yang kukuh, kesiapan menghadapi perubahan serta keupayaan kepimpinan.

“IHM telah memanfaatkan platform ini dengan memperkenalkan program pengajian berkaitan halal, memberikan khidmat bimbingan persijilan halal kepada PKS dan usahawan mikro, serta mempamerkan modul latihan halal.

“Melalui kehadiran ini, IHM bukan sahaja berinteraksi secara langsung dengan pemain industri dan usahawan yang berhasrat menembusi pasaran halal, tetapi turut mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan ekosistem perniagaan halal di rantau utara,” katanya.

Dengan penglibatan sebagai pempamer di NEST Synergy Summit 2025, IHM menegaskan komitmennya ke arah transformasi perniagaan berdaya saing dan menepati piawaian halal tertinggi.

Inisiatif ini juga selaras dengan visi menjadikan Wilayah Koridor Utara sebagai hab halal serantau menjelang tahun 2030. – Dr. Norazilawati Md Dahlal

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button