UUM lonjak 114 anak tangga dalam QS World University Rankings: Sustainability 2026
Gambar Norazlina Ahmad
SINTOK, 18 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta pencapaian membanggakan apabila disenaraikan di kedudukan ke-631 daripada 2,001 universiti di seluruh dunia dalam QS World University Ranking: Sustainability 2026, meningkat 114 anak tangga dari kedudukan ke-745 pada edisi yang lalu.
QS World University Ranking: Sustainability 2026 menggunakan tiga kategori utama sebagai asas penilaian iaitu impak alam sekitar (Environmental Impact), impak sosial (Social Impact), dan tadbir urus (Governance).
Dalam kategori Impak Sosial, UUM berada di kedudukan ke-611 dunia berbanding ke-781 pada edisi sebelumnya, manakala dalam kategori Impak Alam Sekitar pula, UUM melonjak ke kedudukan ke-703 dengan peningkatan sebanyak 266 anak tangga. Ini merupakan satu peningkatan yang sangat signifikan, seterusnya membuktikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif sosial universiti dalam memperkukuh kesaksamaan, keterangkuman, dan kesejahteraan komuniti kampus dan masyarakat.

Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmen universiti terhadap agenda kelestarian global di mana kejayaan ini bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap usaha UUM tetapi juga satu tanggungjawab untuk terus memacu pembangunan mampan dan menyemai nilai kelestarian dalam kalangan staf dan pelajar.
Dengan penarafan ini, menurutnya, UUM kini berada di landasan yang kukuh untuk memperteguh sumbangan terhadap pembangunan mampan melalui penyelidikan inovatif, pendidikan lestari, dan penglibatan komuniti.
“Universiti turut berhasrat memastikan generasi pelajar masa depan mendapat pendidikan yang mendalam mengenai kelestarian dan membawa perubahan positif,” katanya.
Penarafan QS World University Ranking: Sustainability 2026 merupakan satu platform penting untuk universiti di seluruh dunia mengukur impak mereka dalam menghadapi cabaran global. Ini juga seiring dengan hasrat UUM untuk terus relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan ini adalah bukti kepada dedikasi UUM dalam menjadikan prinsip kelestarian sebagai teras operasi universiti untuk masa depan yang lebih mampan. – Nur Liyana Noor Ismadee



