Education

Jom Naik MyBas! perkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman pelajar

Gambar Karthiyani Vathivello

KANGAR, 26 November 2025: Seramai 49 pelajar daripada kursus BJTLK3033 Urban and Rural Transport (Kumpulan A & B), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), di bawah bimbingan Dr. Nooraini Ismail telah menganjurkan Program SULAM bertemakan “Jom Naik MyBas! Pelajar Mobiliti Cerdas, Komuniti Hebat!” dengan kerjasama MyBas dan Kelab LogTrans.

Program ini merupakan aktiviti SULAM yang dilaksanakan secara konsisten pada setiap semester bagi kursus BJTLK3033. Program ini bukan sahaja memperkukuhkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), tetapi turut menyediakan platform sebenar untuk pelajar menilai, menjelaskan dan menintegrasikan konsep-konsep pengangkutan bandar dan luar bandar melalui interaksi langsung bersama komuniti.

Pelaksanaan program turut mendapat sokongan penuh Penasihat Kelab LogTrans, LogM Nizamuddin Dato’ Zainuddin, MLogM, CMILT, yang komited dalam memperkukuh pembangunan sahsiah, kemahiran profesional dan pengetahuan pelajar dalam bidang logistik serta mobiliti mampan.

Menurutnya, tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan, keselamatan dan masa depan pengangkutan awam di Malaysia.

Pihak MyBas turut memperkenalkan Kad Konsesi Pelajar, iaitu inisiatif tambang lebih berpatutan yang direka khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Program ini dikendalikan oleh Mohamad Zahrul Asyiq Zuraidi, merangkumi sesi taklimat mengenai rangkaian laluan MyBas, jadual perjalanan, ciri keselamatan serta operasi perkhidmatan bas untuk meningkatkan kefahaman terhadap fungsi pengangkutan awam.

Melalui sesi perkongsian interaktif, peserta mempelajari aspek aksesibiliti laluan, kelebihan kad konsesi serta cabaran dan peluang dalam sistem pengangkutan awam semasa. Para pelajar turut berpeluang memberikan maklum balas bernas yang dapat menyumbang kepada penambahbaikan perkhidmatan MyBas serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas.

Penglibatan komuniti UniMAP ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran praktikal, malah memperkukuh pemahaman mereka terhadap peranan pengangkutan lestari dalam kehidupan moden dan pembangunan negara.

Inisiatif berterusan ini menyerlahkan komitmen tinggi para pelajar BJTLK3033 (A251), Kelab LogTrans, warga UniMAP dan MyBas dalam memartabatkan kesedaran pengangkutan awam serta mempromosikan budaya mobiliti bijak dan mampan dalam kalangan komuniti. – Muhammad Mutalib Mustapha

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button