Campus

Program Sijil Profesional Eksekutif Halal kukuh persediaan latihan industri pelajar

Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi

SINTOK, 19 November 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Program Sijil Profesional Eksekutif Halal Bagi Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) bertempat di Masjid Sultan Badlishah, UUM, baru-baru ini.

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, ia sebagai inisiatif memperkukuh kefahaman dan kesiapsiagaan pelajar dalam bidang pengurusan halal menjelang pelaksanaan latihan industri (Mod3U1I).

Menurutnya, penganjuran program seumpama ini penting sebagai platform pelajar memantapkan kemahiran insaniah, kefahaman praktikal dan integriti sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

“IHM sentiasa komited melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi bersedia menjadi duta halal yang berwibawa dalam organisasi masing-masing.

“Pelajar turut didedahkan kepada aspek kecekapan teknikal, etika profesional, serta keperluan pematuhan standard Halal Malaysia merujuk kepada pekeliling berkaitan halal,” katanya.

Penekanan turut diberikan terhadap persediaan menghadapi cabaran sebenar industri halal termasuk dokumentasi, pemantauan dalaman halal dan prosedur pensijilan halal Malaysia.Tenaga Pengajar Halal (TPH) dari Bahagian Pengurusan Halal JHEAIK turut dijemput bagi memberi perkongsian berkaitan hal tersebut.

Program ini juga memberi ruang kepada pelajar bertanya secara langsung mengenai prosedur latihan industri, jangkaan majikan, dan peluang penempatan di agensi atau syarikat yang merupakan pemegang sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara universiti, industri dan pihak berautoriti halal ke arah pengukuhan ekosistem halal negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button