IBS rai graduan PhD dan Sarjana sempena Majlis Konvokesyen Ke-38
Gambar Nur Ismahani Zamry (Pelajar Pelatih IBS)
SINTOK, 19 November 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Graduan Pascasiswazah bersempena dengan Majlis Konvokesyen UUM ke-38 di Manager’s Coffee pada Ahad lalu.
Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, majlis ini ini bertujuan meraikan kejayaan graduan pascasiswazah IBS, khususnya graduan Doktor falsafah (PhD) dan Sarjana, yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

Menurutnya, istimewa pada sesi kali ini, diadakan Upacara Menyarungkan Jubah (Robing Ceremony) bagi graduan PhD, di mana setiap penyelia diberi penghormatan untuk menyarungkan jubah kepada pelajar masing-masing sebagai simbol kejayaan dan hubungan akademik yang berterusan antara penyelia dan pelajar.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Sahibus Samahah Mufti Pahang, Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, serta Prof. Dr. Nor Hayati Ahmad, yang bersama-sama meraikan detik bermakna ini.
Dr. Selamah menzahirkan rasa bangga dan syukur atas pencapaian para graduan yang telah berjaya menempuh perjalanan akademik penuh cabaran.
“Kejayaan graduan hari ini adalah hasil usaha gigih, doa, dan sokongan semua pihak. IBS berbangga kerana dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga beretika dan berintegriti tinggi selaras dengan nilai-nilai Islam,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyelia dan staf akademik yang sentiasa komited dalam membimbing pelajar ke arah kecemerlangan.
Majlis yang dihadiri oleh lebih 20 tetamu itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pelajar dan tenaga akademik, sekali gus mencerminkan semangat kekeluargaan warga IBS.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dan akan bergraduasi. Semoga terus melangkah dengan ilmu, integriti, dan semangat untuk berbakti kepada ummah. – Dr. Noraziah Che Arshad



