Program Pemantapan Diri Pelajar BHalal Siri 2 kukuhkan semangat dan identiti Duta Halal UUM
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
SINTOK, 20 November 2025: Lebih 50 pelajar kohort pertama Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia telah menyertai Program Pemantapan Diri Pelajar BHalal Kohort A231 Siri 2 yang berlangsung di Dewan Seminar Pusat Islam, UUM.
Program ini merupakan kesinambungan daripada Siri 1 dan diadakan bagi memperkukuh kesiapsiagaan pelajar sebelum menjalani Latihan Industri (Work-Based Learning, WBL) bermula Mac 2026. Melalui pendekatan latihan berasaskan pengalaman, siri kedua ini memberi penekanan kepada pembangunan kendiri, latihan kepimpinan, dan aktiviti teambuilding bagi membentuk semangat kerja berpasukan serta ketahanan mental pelajar sebelum melangkah ke dunia industri sebenar.

Pelbagai aktiviti team building dan interaktif dilaksanakan, termasuk icebreaking, OSOM, kad peraturan, dan tali pengusung yang menumpukan kepada elemen komunikasi berkesan, tanggungjawab dan integriti. Turut diselitkan aktiviti kesegaran seperti Brain Gym, Bumi & Langit, serta Jump In – Jump Out bagi membina tenaga positif dan mengukuhkan hubungan antara peserta.
Program ini dikendalikan dengan bimbingan olehHalimi Mohamad Halil dan Aishah daripada Genius Impact Consultation & Training, Baling.
Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, program BHalal bukan sekadar pengajian akademik biasa, tetapi satu amanah besar untuk dihayati dan diamalkan secara menyeluruh.

Menurutnya, pelajar tidak perlu menunggu sehingga bergraduat untuk mempraktikkan nilai halal, sebaliknya menerapkannya dalam setiap aspek kehidupan dan pembelajaran.
Katanya, pelajar BHalal amat bertuah kerana diberi peluang mendalami bidang yang unik ini iaitu menggabungkan tiga tahun pembelajaran universiti dan satu tahun latihan industri dengan sokongan padu daripada tenaga akademik dan pakar industri.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam membentuk pelajar yang berkeyakinan, beramanah, dan berjiwa resilien, seterusnya bersedia menjadi duta Halal UUM yang berintegriti dan kompeten dalam menghadapi cabaran dunia industri sebenar, selaras dengan prinsip Halalan Toyyiban. – Dr. Norazilawati Md Dahlal



