Campus

UUMKL komited perkasa pentadbiran kampus

Gambar Siti Nurzulaikha Mohamad Hidayat

KUALA LUMPUR, 20 November 2025: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) terus komited memperkasa struktur pentadbiran kampus melalui kerjasama dengan Jabatan Sumber Manusia (JSM) UUM dalam penganjuran Program Pemantapan Pentadbiran yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2025.

Program ini melibatkan penyertaan staf pentadbiran dari pelbagai bahagian di kampus ini. Objektif utama adalah bagi memperkemas penulisan Job Description (JD) serta meningkatkan kefahaman berkenaan struktur kerja dan bidang tugas setiap jawatan.

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab bersama Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah pada hari terakhir.

Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya setiap staf memahami skop kerja dan menyelaraskannya dengan hala tuju universiti.

“Setiap tugasan mesti selari dengan skop kerja dan kompetensi jawatan. Pemahaman ini bukan sahaja meningkatkan prestasi kerja, malah membina budaya kerja yang lebih profesional serta integriti staf merupakan asas kepada kejayaan sesebuah organisasi,” katanya.

Beliau turut menyeru agar staf UUMKL terus menunjukkan komitmen terhadap peranan masing-masing demi menyokong aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka.

Staf turut diberikan pendedahan berkaitan penambahbaikan pengurusan sumber manusia, pemetaan tugas dan keberkesanan organisasi dalam menyokong fungsi akademik di kampus.

Program ini juga selari dengan usaha berterusan UUMKL dalam menyokong agenda pemerkasaan pentadbiran dan pengurusan sumber manusia, sejajar dengan visi dan misi universiti. – Nur Afiqah Abu Bakar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button