Campus

JPPH tingkat kualiti penyediaan dokumen penawaran Program Baharu MDM selari dengan MQF2024

Gambar Dr. Aidanajwa Sabri

SINTOK, 23 November 2025: Jabatan Perancangan dan Pembangunan Hartanah (JPPH), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Dokumen Penawaran Program Baharu Sarjana Pengurusan Pembangunan (MDM) di EDC UUM pada 18 hingga 20 November lalu.

Bengkel ini bertujuan untuk menyemak, menambah baik dan memetakan kandungan dokumen program MDM agar selari dengan elemen Value-Based Education (VBE), Sustainable Development Goals (SDG) serta keperluan semasa pasaran. Selain itu, bengkel turut memberi tumpuan kepada penyusunan semula struktur program dan penambahan kursus-kursus yang lebih relevan dengan bidang pengkhususan MDM.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SOG, Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali berkata, bengkel ini melibatkan TaskForce yang terdiri daripada staf akademik JPPH bagi membantu pembangunan dokumen MDM termasuk penyediaan Table 4: Silibus Kursus untuk penawaran program sarjana yang dirancang untuk ditawarkan mulai tahun 2026.

“Penyertaan dan komitmen staf akademik terlibat amat bermakna kerana proses pembangunan program ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak.

“Ia penting bagi memastikan cadangan penawaran program MDM dapat memenuhi keperluan industri dan selari dengan perkembangan semasa dalam bidang pengurusan pembangunan,” katanya.

Bengkel selama tiga hari tersebut turut melibatkan sesi perbincangan intensif, pembentangan cadangan penambahbaikan kursus, penyelarasan hasil pembelajaran program (PLO) serta pemetaan kursus kepada keperluan MQF2024.

Melalui penglibatan aktif peserta, bengkel ini berjaya menghasilkan draf awal struktur program yang lebih komprehensif dan berdaya saing.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkukuh kesediaan SOG dalam menawarkan program baharu Sarjana Pengurusan Pembangunan yang lebih relevan kepada pasaran, progresif dan mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan kepimpinan pembangunan di peringkat nasional dan global. – Dr. Khofizhoah Mohd Karim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button