Sanggar Karya 2025 kukuh jalinan antara pengarang dan penerbit
Gambar UUM Press
SINTOK, 23 November 2025: Majlis Sanggar Karya 2025 yang julung kalinya dianjurkan oleh UUM Press di Dewan Pusat Budaya Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghimpunkan pengarang, penyunting serta warga akademik bagi meraikan kecemerlangan karya dan komitmen dalam dunia penerbitan ilmiah.
Penganjuran majlis buat pertama kali ini bertujuan menghargai pengarang yang telah menyumbang karya ilmiah dan kreatif sepanjang tahun, di samping memperkukuh hubungan strategik antara pengarang dan UUM Press.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi yang menekankan peranan pengarang sebagai tonggak utama dalam penghasilan ilmu serta kepentingan memperkukuh kerjasama profesional antara pengarang dan pihak penerbit.
Beliau turut menyampaikan taklimat mengenai pemasaran dan proses penerbitan, sekali gus memberi pencerahan kepada pengarang tentang strategi penyebaran ilmu serta hala tuju penerbitan universiti.
Majlis Sanggar Karya 2025 disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, yang turut melancarkan judul-judul buku terbitan UUM Press bagi tahun 2026.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Ram berkongsi pengalaman dan kenangan beliau semasa menjadi Pengarah UUM Press, termasuk cabaran dan pencapaian dalam membangunkan penerbitan universiti.
Kemudian, beliau menyempurnakan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada pengarang sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan mereka.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis, khususnya pengarang dan warga UUM Press, serta menegaskan bahawa maklum balas dan cadangan daripada pengarang amat penting bagi mempertingkatkan mutu, proses dan strategi penerbitan universiti.
“Penglibatan pengarang bukan sahaja memperkaya ekosistem penerbitan, tetapi juga memastikan UUM Press terus relevan, cekap dan berdaya saing,” katanya.

Rata-rata pengarang yang ditemui menyatakan keterujaan dan penghargaan mereka terhadap penganjuran majlis julung kali ini, yang bukan sahaja meraikan karya mereka, tetapi turut menyediakan platform jaringan dan pertemuan berkualiti dengan warga penerbit.
Penganjuran Majlis Sanggar Karya 2025 sekali lagi membuktikan komitmen UUM Press dalam memartabatkan budaya penulisan serta memperkukuh penerbitan ilmiah di UUM. – Siti Nur Dina Johary



