Campus

UUM dan Takaful Ikhlas rangka kerjasama baharu dalam pembangunan kemahiran pelajar

Gambar oleh Dr. Fikriyah Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) yang diwakili oleh Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG telah mengadakan satu pertemuan bersama Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad.

Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan beberapa perkara antaranya ialah perkembangan program Ikhlas Padawan, yang dijalankan di bawah inisiatif School of Hard Knocks (SoHK).

Program ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, tetapi juga kemahiran insaniah dan profesional yang tinggi bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang kian kompetitif.

Sebanyak 80% Ikhlas Padawan telah mengambil dan lulus dalam Takaful Basic Examination (TBE) untuk menilai pengetahuan asas pelajar mengenai konsep takaful, termasuk takaful am dan takaful keluarga.

Perbincangan ini turut menumpukan kepada persiapan majlis graduasi program Ikhlas Padawan, yang dijadualkan berlangsung pada 22 Disember 2025 ini.

Majlis graduasi ini akan diserikan dengan kehadiran Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi bagi meraikan kejayaan pelajar yang menamatkan program berkenaan.

Selain itu, dalam sesi pertemuan itu turut membincangkan pelaksanaan program-program lain seperti sesi ceramah kerjaya, bengkel, dan aktiviti pembangunan kendiri lain bagi pelajar UUM.

Program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran insaniah, komunikasi, kepimpinan, serta pemahaman pelajar UUM terhadap keperluan industri.

Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG, telah hadir dalam sesi perbincangan itu dan menekankan kepentingan program seperti ini dalam memastikan graduan UUM lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan dan mampu bersaing di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Sesi pertemuan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara UUM dan Takaful Ikhlas dalam usaha membangunkan bakat muda yang berdaya saing serta menyediakan mereka dengan pengalaman praktikal dan bimbingan berterusan.

Dengan penglibatan aktif industri, program-program ini dijangka memberi impak positif dalam membina graduan yang bukan sahaja cekap dari segi akademik, tetapi juga memiliki keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran profesional masa depan. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button