General

Program Kongsi Kasih Sayang semarak prihatin warga emas

Berita dan gambar Shafina Jaafar

ARAU, 27 November 2025: Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menganjurkan Program Kongsi Kasih Sayang di Rumah Seri Kenangan Arau, Perlis.

Rumah Seri Kenangan Arau kini menempatkan 102 penghuni daripada lima kategori iaitu pesakit sihat, pesakit terlantar, pesakit separa terlantar, pesakit mental terkawal dan pesakit mental berkurang.

Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disertai oleh kakitangan SADA yang mengikuti Program Sijil Eksekutif Tahap 1 dan Tahap 2 di UUM, dengan sokongan staf UUM Leads Sdn. Bhd.

Peserta turut mengadakan kutipan bagi menyumbangkan pokok, tanah dan pasu kepada pihak rumah berkenaan, manakala PACE melalui Pengarah dan Timbalan Pengarahnya turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa tumbler minuman kepada setiap penghuni.

Aktiviti senaman, tarian dan nyanyian bersama 30 warga emas terpilih telah menghidupkan suasana ceria serta memberi ruang kepada peserta menyantuni warga emas agar mereka tidak berasa terpinggir.

Program tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Kanan Jabatan Korporat SADA, Puan Siti Syuhairah Sobri.

Penguasa Rumah Seri Kenangan Arau, Idris Sharizat turut menyatakan penghargaan terhadap penganjuran program ini.

“Berdasarkan pemerhatian saya, peserta berjaya mewujudkan suasana ceria sepanjang program dan mampu memecahkan ruang tertutup yang ada dalam diri penghuni.

“Penghuni juga kelihatan selesa bersama peserta dan tidak merasa disisihkan. Malah, ada penghuni yang menunggu peserta sehingga mereka meninggalkan kawasan rumah dengan penuh pengharapan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penambahbaikan bagi program akan datang.

Menurutnya, aktiviti penanaman pokok seeloknya dilakukan oleh penghuni sendiri dengan pemantauan peserta.

Katanya, cara ini dapat membantu menilai penggunaan motor halus dan motor kasar mereka, selain mengurangkan pergantungan kepada individu lain.

Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen PACE dan SADA dengan sokongan UUM Leads Sdn. Bhd. dalam meneruskan usaha menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif CSR secara berterusan.​

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button