General

Dana wakaf UUM cecah RM1 juta sejak 2023

Gambar Hairul Nizam Zahari

KUALA LUMPUR, 1 Disember 2025: Sejak 2023, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima sumbangan wakaf berjumlah RM722,000 daripada individu dan badan korporat, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dana wakaf UUM, termasuk potongan gaji staf, melebihi RM1 juta.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, selain wakaf, untuk tahun ini sahaja UUM telah menerima sumbangan zakat berjumlah lebih RM2 juta, dengan kira-kira RM1.3 juta daripadanya merupakan hasil Wakalah Agihan Zakat UUM daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Menurutnya, sumbangan tersebut telah dimanfaatkan kepada pelajar UUM, staf UUM, komuniti serta Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM melalui skim bantuan zakat yang disediakan universiti.

“Sumbangan ini juga digunakan untuk melaksanakan projek-projek wakaf UUM yang sedang berjalan seperti Wakaf Kesihatan dan Kesejahteraan UUM, Wakaf Buku bersama UUM Press, wakaf mesin penapis air, wakaf Interactive Smartboard di pusat pengajian, menaik taraf Student Lounge di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) serta wakaf pembelian mesin retort dan mesin memasak.

“UUM amat menghargai dan mengiktiraf jasa besar penyumbang yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan kebajikan dan kesejahteraan warga universiti,” katanya pada Majlis Apresiasi Barakah 2025: Penyumbang Zakat dan Wakaf UUM, petang tadi.

UUM hari ini meraikan penyumbang zakat dan wakaf sebagai tanda pengiktirafan terhadap sokongan berterusan mereka dalam pembangunan pendidikan tinggi.

Majlis ini berjaya menghimpunkan golongan dermawan, rakan industri, alumni serta individu yang telah menyumbang secara konsisten dalam memperkasakan agenda kebajikan, pembiayaan pelajar dan pembangunan strategik universiti.

Dr. Ahmad Martadha turut memaklumkan bahawa hampir 70 peratus pelajar UUM terdiri daripada golongan B40, dan sebahagian besar mereka masih memohon bantuan komputer riba.

Beliau berharap Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) UUM dapat terus menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak agensi atau badan korporat bagi memenuhi keperluan pelajar.

Katanya, melalui dana zakat dan wakaf yang disalurkan, UUM dapat meneruskan pelbagai program kebajikan dan pembangunan pelajar, dan universiti menegaskan komitmen untuk menghargai setiap sumbangan yang menjadi nadi kepada kelestarian dan kecemerlangan institusi.

Pada tahun ini, UUM menerima sumbangan daripada penyumbang utama seperti LZNK, Perumahan Kinrara Berhad, Zurich Takaful Malaysia, Bank Rakyat, Ir-Saf Holiday Sdn Bhd, Bank Islam Malaysia Berhad, Etiqa Takaful, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Rifhan Teknologi Sdn Bhd, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Amal Malaysia dan Dato’ Muazzam.

Sementara itu, Pengarah PZW, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali berkata, majlis tersebut diadakan bagi meraikan penyumbang dan pendukung agenda universiti awam, khususnya UUM, dalam menjayakan pelbagai program dan inisiatif di peringkat universiti.

Menurutnya, penyumbang telah banyak membantu pelajar daripada golongan B40 untuk meneruskan pengajian mereka dengan lebih lancar, hasil jaringan kerjasama dengan agensi-agensi terlibat.

“UUM amat menghargai sokongan semua penyumbang, bukan sahaja dari segi material tetapi juga kesungguhan mereka dalam memastikan masa depan generasi akan datang.

“PZW juga akan memastikan semua sumbangan dimanfaatkan untuk menaik taraf kemudahan di UUM, di samping mengharapkan bantuan kerajaan. Saya berharap ia dapat mewujudkan ekosistem UUM yang lebih mampan dan inklusif,” katanya.

Majlis turut menyaksikan gimik penyerahan cek cura daripada para penyumbang kepada Dr. Ahmad Martadha sambil disaksikan Dr. Zulkurnai.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat (MAWEZ) Universiti Awam, Haris Dahlan; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Prof. Dr. Rosylin Yusof; pegawai-pegawai kanan universiti serta penyumbang zakat dan wakaf.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button