Bengkel sajak gilap bakat pelajar UUM
Berita dan gambar oleh Nur Aqilah Huda binti Abdul Jamal
SINTOK, 1 Disember 2025: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pengkaryaan Karya Kreatif Pelajar: Sajak bertempat di Bilik Mesyuarat Zamrud, SLCP.
Bengkel yang dilaksanakan di bawah program Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan kerjasama Angkatan Sasterawan Indera Negeri Perlis (AKSARA) memberi tumpuan kepada penghasilan sajak sebagai medium ekspresi kreatif mahasiswa.


Seramai 29 orang pelajar kohort kelima daripada kursus SBLSK2023 Proses Pengkaryaan Karya Kreatif, 18 orang daripada kohort ketiga daripada kursus SBLSK3063 Karya Kreatif dan Pembangunan Modal Insan, 4 orang kohort keenam serta beberapa orang ahli akademik telah menyertai bengkel berkenaan.
Program ini menampilkan Solihin Osman, penyair mapan tanah air yang aktif menghasilkan karya puisi dan terlibat dalam dunia sastera sejak sekian lama.
Dalam bengkel tersebut, beliau berkongsi pengalaman serta teknik penulisan sajak, khususnya berkaitan pembentukan imej puitis, pemilihan tema dan kehalusan penggunaan bahasa.
Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa sajak yang berkesan lahir daripada kejujuran rasa serta penguasaan bahasa yang kreatif.

“Saya menulis puisi secara improvisasi bagi mengekspresikan emosi secara spontan. Apabila kehabisan idea, karya Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Zaen Kasturi menjadi sumber inspirasi saya,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pelajar untuk melakukan pembacaan berterusan dan latihan menulis secara konsisten bagi meningkatkan kematangan karya serta membina identiti kepenyairan yang tersendiri.
Bengkel ini bertujuan mengasah bakat mahasiswa dalam penghasilan sajak, menyemai keberanian untuk meluahkan rasa dan pemikiran melalui bahasa puitis, serta memperkukuh apresiasi terhadap seni puisi sebagai medium ekspresi kreatif dalam kalangan warga UUM.



