Intervarsity Student Creativity and Digital Competition 2025 (ISCDC2025) sinergi antarabangsa SCIMPA, STHEM dan SOIS
Berita dan gambar Mohamad Amir Abu Seman
INDONESIA, 3 Disember 2025: Intervarsity Student Creativity and Digital Competition 2025 (ISCDC 2025) merupakan sebuah inisiatif mobiliti tidak berkredit yang diterajui oleh Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) serta Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) UUM bersama Universitas Islam Indonesia (UII).
Pengarah program, Dr. Syamsul Hirdi Muhid berkata, ISCDC 2025 bukan sekadar sebuah program mobiliti mahupun pertandingan, ia adalah perjalanan budaya, akademik dan kemanusiaan yang menghubungkan dua negara melalui kreativiti dan pemahaman bersama.

Menurutnya, dengan sinergi kukuh SCIMPA, STHEM dan SOIS, program ini bukan sahaja meninggalkan kenangan manis kepada peserta, tetapi turut mengangkat Kedah sebagai titik pertemuan dan simbol perpaduan dan meyemarakkan identiti ASEAN.
Katanya, melalui gabungan kepakaran tiga pusat pengajian ini, program ini menampilkan pendekatan silang budaya merangkumi penyelidikan, kreativiti digital, penulisan, dan kulinari yang semuanya berlandaskan warisan budaya dan identiti ASEAN.
Program bermula 25 November hingga 1 Disember ini menghimpunkan peserta yang terdiri daripada pelajar UII dan UUM yang menjalani siri lawatan lapangan yang memberi pendedahan langsung terhadap warisan sejarah dan sosio-budaya di sekitar Padang Besar, Changlun dan Sintok.
Peserta berpeluang mendokumentasikan perjalanan, kisah peribadi dan aspek kebudayaan yang menggambarkan semangat kekitaan dalam konteks ASEAN. Semua dapatan ini kemudiannya menjadi asas kepada tugasan kreatif dan pertandingan yang dijalankan sepanjang program.
Sebagai sebuah program yang menekankan penerokaan pelbagai disiplin, ISCDC 2025 menampilkan empat kategori pertandingan kreatif dan akademik yang meraikan kepelbagaian bakat peserta. Antaranya ialah pertandingan esei, cabaran reel “Faces of Friendship”, reka bentuk poster “Designing Harmony”, serta pertandingan kulinari “Taste of ASEAN” yang menggabungkan elemen kreatif bersama naratif budaya Malaysia–Indonesia.
Pada acara Cultural Night, peserta dari kedua-dua negara mempersembahkan nyanyian dan pertunjukan kebudayaan. Suasana penuh mesra dan harmoni itu mengukuhkan lagi hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia, sambil memperlihatkan kesungguhan peserta serta menerapkan kefahaman silang budaya dalam setiap persembahan mereka.



