Be$MART UUM tarik minat dalami ilmu pengurusan kewangan moden
Gambar Pelajar Praktikum PPKKG
SINTOK, 3 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) komited untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki pengetahuan kewangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran dunia sebenar.
Selaras dengan usaha tersebut, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dan Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) telah menganjurkan program Be$MART Financial Literacy bersama rakan strategik iaitu CIMB Foundation di Dewan Sri Angsana, EDC UUM dengan penyertaan lebih 250 pelajar.
Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari berkata, program Be$MART ini bukan sahaja bertujuan memberi pendedahan tentang pengurusan kewangan, tetapi juga membina keyakinan pelajar untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak seiring perkembangan dunia moden.

“Kami di PPKKG percaya bahawa literasi kewangan adalah kemahiran hidup yang mesti dikuasai setiap pelajar, kerana pengetahuan ini akan membantu mereka mengurus masa depan dengan lebih tersusun dan berstrategi.
“PPKKG menyifatkan program ini sebagai platform penting untuk membina asas celik kewangan dalam kalangan pelajar, seterusnya melahirkan graduan yang lebih bersedia dari segi mental, kewangan dan kehidupan profesional,” katanya.
Program ini menampilkan seorang pempengaruh kewangan terkenal di media sosial yang mempunyai jutaan pengikut iaitu Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi bagi berkongsi ilmu dan pengalaman sebenar berkaitan dunia kewangan. Dengan pendekatan penyampaian yang santai, interaktif dan dekat dengan gaya hidup golongan muda, sesi tersebut berjaya menarik perhatian para pelajar yang hadir.
Sepanjang program, peserta diberikan pemahaman mendalam mengenai kepentingan merancang kewangan sejak usia muda. Penceramah menekankan bahawa pengurusan kewangan yang baik bukan sekadar menyimpan wang, tetapi melibatkan keupayaan menetapkan matlamat kewangan, memantau aliran keluar masuk wang, serta membuat keputusan perbelanjaan yang lebih bijak dan berhemah.
Sepanjang sesi, Faiz turut berkongsi ilmu dan pengalaman berdasarkan situasi dunia sebenar dengan gaya penyampaian yang santai, interaktif dan dekat dengan golongan muda. Beliau menekankan kepentingan merancang kewangan seawal mungkin, termasuk menetapkan bajet perbelanjaan bulanan, membezakan antara keperluan dan kehendak, serta mengenal pasti matlamat kewangan jangka pendek dan panjang.

Pelajar turut diberi pemahaman mendalam mengenai pengurusan hutang, terutamanya bagaimana komitmen kewangan seperti pinjaman boleh memberi kesan kepada aliran tunai dan masa depan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Penerangan jelas turut diberikan mengenai risiko pelaburan, termasuk amaran terhadap skim “cepat kaya” yang semakin banyak menghampiri golongan muda melalui media sosial.
Sesi berkaitan pengurusan kad kredit pula membuka mata peserta tentang faedah dan risiko alat kewangan tersebut. Penekanan diberikan terhadap disiplin pembayaran, kadar faedah dan cara mengelakkan beban hutang akibat penggunaan yang tidak berhati-hati. Dalam topik kebankrapan, peserta diberi gambaran menyeluruh mengenai proses undang-undang dan akibat jangka panjang yang boleh menjejaskan masa depan kerjaya seseorang.
Program ini turut memberi kefahaman mengenai rekod CCRIS, yang merupakan indikator utama bagi institusi kewangan dalam menentukan kelayakan pinjaman. Para pelajar dididik mengenai pentingnya mengekalkan rekod pembayaran yang baik agar dapat memudahkan urusan kewangan mereka selepas tamat pengajian kelak.
Menjadikan program ini lebih menarik, satu sesi kuiz interaktif Kahoot turut diadakan bagi menguji kefahaman pelajar terhadap topik-topik kewangan yang dibincangkan. Suasana dewan menjadi lebih meriah apabila para peserta berlumba-lumba menjawab soalan dengan pantas dan tepat. Seramai 30 peserta terbaik berjaya membawa pulang hadiah bernilai keseluruhan RM6,299, termasuk pelbagai peranti teknologi seperti tablet, powerbank, jam pintar, headset, pendrive dan flask air yang disediakan oleh penganjur sebagai penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan kefahaman dan penglibatan aktif sepanjang program.
PPKKG juga merancang untuk meneruskan program-program seumpama ini pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kecerdasan kewangan generasi muda. – Anis Zulaikha Kamal



