MASKUM UUM gerak Misi Bantuan Pasca Banjir di Perlis
Berita dan gambar Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali
PERLIS, 7 Disember 2025: Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan Infrastruktur (JPPi) telah menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir di Kampung Tebing Tinggi, Bintong dengan penglibatan seramai 110 sukarelawan UUM pada Rabu lalu.
Sukarelawan ini terdiri daripada 60 sukarelawan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) UUM serta 50 staf UUM daripada Sekretariat MASKUM dan JPPi.
Turut hadir memberikan sokongan moral ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, yang turun meninjau keadaan kawasan terlibat dan memberi suntikan semangat kepada sukarelawan.

Dr. Ram berkata, operasi ini memberi fokus kepada pemulihan kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Alhamdulillah ini merupakan antara perkara yang kita cuba membudayakan dalam keluarga UUM ini adalah mengeratkan hubungan antara UUM dan komuniti setempat,” katanya.
Misi ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi luar termasuk Malaysian Volunteers Organisation (MYVO), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sekali gus menunjukkan solidariti bersama komuniti setempat dalam menghadapi musibah.
Operasi bantuan memberi tumpuan kepada dua bentuk kerja utama, iaitu pemindahan perabot dan peralatan rumah untuk membantu penduduk mengurus barangan yang masih boleh diselamatkan, serta pembersihan kawasan dalam dan luar rumah melibatkan pengeluaran lumpur, cucian ruang kediaman dan halaman bagi memastikan keadaan kembali selamat dan selesa.

Sebanyak empat buah rumah dikenal pasti sebagai paling terjejas dan menjadi fokus utama dalam misi ini.
Sukarelawan berganding bahu menjalankan tugas dengan teratur dan berkesan, demi membantu pemilik rumah memulihkan kediaman masing-masing dalam tempoh sukar pasca banjir.
Kehadiran sukarelawan UUM dalam jumlah yang besar mencerminkan komitmen universiti dalam memupuk nilai keprihatinan, semangat kesukarelawanan dan budaya tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar dan staf.
Penduduk Kampung Tebing Tinggi turut menzahirkan kesyukuran atas bantuan yang dihulurkan, yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka.



