STML perkasa graduan masa hadapan melalui Program “Future-Ready Graduate: Building Character, Competence & Connections for a Global Career”
Berita dan gambar Dr. Alminnourliza Noordin
SINTOK, 7 Disember 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasakan kebolehpasaran graduan melalui penganjuran program berimpak tinggi bertajuk “Future-Ready Graduate: Building Character, Competence & Connections for a Global Career” yang berlangsung di Dewan Seminar C, STML.
Program ini telah menampilkan dua tokoh terkemuka dalam bidang logistik dan pengangkutan dari The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM), iaitu Presiden CILTM, Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah FCILT dan Timbalannya Ts. Dr. Hajah Zawiah Abdul Majid FCILT.

Kedua-dua panelis mempunyai pengalaman luas dalam sektor logistik, pembangunan bakat industri dan strategi global, menjadikan perkongsian mereka amat relevan kepada keperluan semasa pasaran kerja.
Program telah dikendalikan dengan penuh profesional oleh pelajar Sarjana Muda Logistik dan Pengangkutan, Nurul Liana Mohd Arif, yang berperanan sebagai moderator dan berjaya memacu perbincangan secara dinamik serta interaktif.
Dalam sesi dialog ini, panelis menegaskan bahawa graduan masa kini perlu memiliki kelebihan yang lebih holistik, merangkumi pembinaan karakter yang kukuh, penguasaan kompetensi teknikal yang relevan, serta keupayaan membina rangkaian profesional di peringkat global.
Nilai seperti integriti, etika kerja, komunikasi berkesan dan disiplin ditegaskan sebagai teras utama yang menentukan kecemerlangan seseorang dalam pelbagai industri.

Panelis turut mengetengahkan kepentingan adaptasi terhadap kemunculan teknologi baharu seperti automasi, kecerdasan buatan dan sistem logistik pintar. Mereka menekankan bahawa pemahaman mendalam terhadap teknologi dan trend global ini bukan lagi pilihan, tetapi menjadi keperluan mendesak bagi graduan untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran kerjaya yang sentiasa berubah.
Dr. Muhammad Zaly berkata, majikan kini memerlukan graduan yang bukan sekadar berpengetahuan, tetapi juga mampu berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah kompleks serta mempunyai keupayaan menyesuaikan diri di peringkat antarabangsa.
Turut hadir dalam program ini ialah Presiden CILTM Seksyen Kedah dan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Rohafiz Sabar, yang menyifatkan penganjuran program ini sebagai bukti usaha berterusan STML dalam melahirkan graduan yang komprehensif, kompetitif dan selaras dengan perkembangan pesat dunia pekerjaan global.
Beliau menyatakan bahawa kerjasama strategik antara universiti dan industri seperti ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi.



