Hari Sukan PGDE 2025 pacu jati diri bakal pendidik UUM
Gambar Huwaina Marzuan, Syafika Khalid, Afif Aqilah Ahmad Asri dan Adib Imran Roslan
SINTOK, 7 Disember 2025: Seramai 157 pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) bersama barisan tenaga pengajar telah menyemarakkan sambutan Hari Sukan PGDE 2025 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM).
Acara tahunan yang bertemakan “Majulah Pendidikan dengan Kesukanan” ini berjaya menjadi platform strategik yang menampilkan kesepaduan antara kecemerlangan akademik dan pembinaan kecergasan fizikal dalam kalangan bakal pendidik.

Majlis perasmian dimulakan dengan penuh tradisi menerusi perarakan masuk kontinjen rumah-rumah sukan. Setiap pasukan menampilkan identiti unik dan disiplin tinggi menandakan bermulanya kejohanan.
Kemuncak majlis pembukaan disempurnakan dengan perasmian oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, menandakan bermulanya kejohanan secara rasmi sambil menggariskan kepentingan keseimbangan holistik dalam pendidikan.
Acara diteruskan dengan Pertandingan Aerodance sebagai acara pembuka tirai rasmi yang mempamerkan kreativiti dan semangat kesukanan. Rumah Ungu berjaya menarik perhatian juri dan dinobatkan sebagai Johan Perbarisan dan Aerodance terbaik kerana memberi persembahan yang mantap dan berdisiplin tinggi.
Acara tarik tali turut dipertandingkan dimana menjadi tumpuan utama yang menguji semangat setia kawan dan kekuatan fizikal peserta. Acara kemuncak seterusnya ialah persaingan balapan yang berlangsung sengit apabila lima buah rumah sukan berentap dalam acara-acara utama seperti 100 meter, 200 meter, 4×100 meter, dan 4×200 meter.

Rumah Hijau dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Hari Sukan PGDE 2025 setelah berjaya mengumpul jumlah mata tertinggi iaitu 139 mata dan mendominasi sebahagian besar acara.
Gelaran Olahragawan disandang oleh Muhammad Sidqi Ruslim yang cemerlang dengan pencapaian dua pingat emas dalam acara balapan individu, manakala gelaran Olahragawati disandang oleh Nur Anis Izaati Mohd Fauzi.
Pengarah Program Hari Sukan 2025, Muhammad Aiman Zakuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen semua pihak yang menjadi pendorong utama kelancaran acara.

Menurutnya, Hari Sukan PGDE ini bukan sekadar medan kompetitif, tetapi merupakan platform penting untuk memupuk hubungan, kerjasama, dan semangat kekitaan akademik yang utuh antara pelajar dan pensyarah.
Penganjuran program ini, yang disokong penuh oleh jawatankuasa penganjur, pensyarah, dan pelajar, diharapkan akan terus menjadi wadah penting dalam melahirkan bakal pendidik yang berintegriti, berdaya saing, dan seimbang dari segi akademik, rohani, serta jasmani.
Majlis penutup diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diraikan dengan sorakan penuh bangga daripada seluruh warga PGDE. – Nur Fathin Izyan Mohd Isa



