NEMS fokus aspek keselamatan, ketahanan dan prestasi petugas ‘frontliner’
Berita dan gambar Mohamad Khairul Hafiz Saidin
KUALA LUMPUR, 7 Disember 2025: Aspek keselamatan, ketahanan, dan prestasi petugas barisan hadapan menjadi tumpuan utama dalam Persidangan Kerjasama National Emergency Medical Services (NEMS) 2025 yang berlangsung di Auditorium Hospital Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persidangan dua hari yang diadakan pada 22 dan 23 November lalu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab.

Dalam majlis tersebut, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dr. Azlan bin Darus, turut hadir menyampaikan ucapan aluan yang menyentuh mengenai kepentingan perlindungan sosial dan keselamatan pekerjaan bagi sektor kecemasan.
Kerjasama Strategik Pelbagai Agensi Persidangan ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara institusi akademik dan badan profesional perubatan, iaitu Social Security Management Centre of Excellence (SOSCoE), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia, College of Emergency Physicians Malaysia (CEP) – SIG Pre-Hospital Care dan Persatuan Petugas Penjagaan Pra-Hospital Kebangsaan (NAPHCARE).
Fokus utama persidangan ini ialah Cabaran Sebenar dan Penyelesaian Praktikal NEMS 2025 yang mengangkat tema Occupational Safety anf Health in Prehospital Environment sebagai respons kepada cabaran dinamik yang dihadapi oleh profesional EMS, pengamal perubatan, dan petugas barisan hadapan (frontline responders).

Sesi pleno dan simposium sepanjang persidangan ini dirangka khusus untuk membincangkan isu-isu kritikal, antaranya pengendalian lokasi berbahaya: teknik menangani situasi cemas di kawasan berisiko tinggi, ancaman pekerjaan senyap: mengenal pasti silent occupational threats yang sering diabaikan, pengurusan wabak: strategi mengawal infeksi penyakit berjangkit semasa operasi dan ergonomik pergerakan: meningkatkan motion ergonomics untuk mengelakkan kecederaan fizikal kepada petugas.
Persidangan ini dilihat sebagai platform penting dalam menetapkan piawaian baharu bagi sektor perkhidmatan perubatan kecemasan negara, dengan menawarkan solusi nyata kepada permasalahan yang dihadapi oleh wira-wira tidak didendang ini di lapangan.



