Kelab Kenu UUM tanam 550 pokok bakau dalam Misi Bakau Lestari
Gambar Kelab Kenu UUM
YAN, 8 Disember 2025: Sebanyak 550 pokok bakau ditanam dalam Misi Bakau Lestari yang berlangsung di Kampung Sungai Udang sebagai usaha memulihara ekosistem pesisir dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan hutan bakau.

Program ini dianjurkan oleh Kelab Kenu Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan sokongan penajaan daripada SME Bank dan Pejabat Daerah Yan, serta kerjasama erat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Persatuan Komuniti Kampung Sungai Udang.
Pengarah Program, Mohamad Naim Rusyaidi berkata, seramai 30 pelajar UUM telah menyertai aktiviti penanaman anak pokok bakau ini yang bertujuan memperkukuhkan kawasan perlindungan semula jadi daripada hakisan ombak, meningkatkan biodiversiti, serta menyokong usaha mitigasi perubahan iklim.

Menurutnya, program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga memperkukuhkan hubungan komuniti antara universiti, agensi kerajaan dan penduduk setempat.
Misi Bakau Lestari ini diharapkan dapat menjadi program berterusan, sekali gus membantu memastikan ekosistem bakau di Yan terus terpelihara demi generasi masa hadapan. – Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup



