Campus

INASIS Proton santuni mahasiswa menerusi program examfuel 2.0 sempena peperiksaan akhir

Gambar dan berita oleh Biro Media dan Publisiti JKPSRS INASIS Proton

SINTOK, 15 Julai 2026: Susulan sambutan menggalakkan yang diterima menerusi Program ExamFuel 1.0 pada musim peperiksaan yang lalu, Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Proton sekali lagi meneruskan inisiatif kebajikan tersebut dengan menganjurkan Program Pengagihan ExamFuel 2.0 bagi membantu mahasiswa menghadapi peperiksaan akhir Semester A252.

Program tanggungjawab sosial universiti (USR) yang berlangsung selama 10 hari, bermula 6 hingga 15 Julai, menyaksikan sebanyak 500 pek sarapan yang terdiri daripada roti dan minuman kotak diagihkan kepada mahasiswa.

Pengagihan dilakukan setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 8.30 pagi di Galeri INASIS Proton dengan menyediakan 50 pek kepada 50 pelajar terawal setiap hari.

Penganjuran kali kedua ini adalah susulan maklum balas positif yang diterima daripada pelajar menerusi ExamFuel 1.0 apabila ramai mahasiswa menyatakan program tersebut membantu mereka mendapatkan sarapan sebelum menduduki peperiksaan, di samping mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Kejayaan program terdahulu turut mendorong pihak INASIS Proton meneruskan inisiatif ini sebagai program kebajikan yang dinantikan oleh penghuni Inapan Siswa.

Program ini bertujuan membantu mahasiswa memulakan hari peperiksaan dengan lebih bertenaga, selain menggalakkan amalan pengambilan sarapan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

Inisiatif tersebut turut memberi manfaat kepada pelajar yang mempunyai peperiksaan pada waktu pagi dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mendapatkan makanan.

Pengetua INASIS Proton, Dr. Mohd. Abidzar Zainol Abidin, berkata pihaknya sentiasa komited memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan, khususnya ketika musim peperiksaan.

“INASIS Proton sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran yang menyokong kesejahteraan mahasiswa, bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga kebajikan harian mereka. Sambutan yang amat baik terhadap ExamFuel 1.0 menjadi pemangkin kepada penganjuran ExamFuel 2.0.

Kami berharap inisiatif ini dapat terus memberi semangat, ketenangan dan motivasi kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu mencerminkan komitmen pengurusan Inapan Siswa Proton dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada penghuni.

Sementara itu, Pengarah Program ExamFuel 2.0 berkata kejayaan penganjuran program berkenaan adalah hasil kerjasama erat antara jawatankuasa pelaksana, pengurusan Inapan Siswa Proton, serta semua pihak yang terlibat.

Menurutnya, sambutan yang diterima daripada mahasiswa membuktikan bahawa program berbentuk kebajikan seperti ini memberi impak positif kepada kehidupan pelajar, selain memperkukuhkan budaya saling membantu dan semangat kebersamaan dalam komuniti kampus.

Program tersebut turut menerima maklum balas positif daripada para penerima yang menyifatkan pemberian sarapan percuma dapat membantu mengurangkan perbelanjaan harian serta mencerminkan keprihatinan pengurusan Inapan Siswa Proton terhadap kebajikan mahasiswa.

Penganjuran ExamFuel 2.0 bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa, malah mengeratkan hubungan antara pengurusan Inapan Siswa Proton, JKPSRS dan penghuni melalui pelaksanaan aktiviti kebajikan yang berimpak tinggi.

Kejayaan program itu membuktikan komitmen berterusan INASIS Proton dalam menyokong kesejahteraan mahasiswa. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada setiap musim peperiksaan sebagai salah satu usaha memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa serta mewujudkan persekitaran Inapan Siswa yang lebih prihatin, kondusif dan menyokong kecemerlangan akademik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button