Campus

STHEM sumbang kepakaran mantapkan pelaksanaan adventure tourism berasaskan gua

Gambar oleh: AHR Adventure

GUA GENDANG, PERAK, 11 Julai 2026: Kepakaran ahli akademik tempatan dalam bidang rekreasi luar dan pelancongan pengembaraan lasak terus diiktiraf oleh pemain industri apabila seorang Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Encik Mohamad Khairi Alwi, dijemput khas untuk menyumbang kepakaran beliau dalam satu program adventure caving di Gua Gendang pada 11 Julai 2026 lalu.

Program eksplorasi alam semula jadi berteraskan persekitaran karst yang dianjurkan oleh AHR Adventure itu telah berjaya menghimpunkan seramai 30 orang peserta dari Kedah, Perak, dan Putrajaya yang meminati aktiviti rekreasi mencabar, khususnya penerokaan gua.

Encik Mohamad Khairi yang turut memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bagi bidang Land-based Adventure Tour Guiding dan Water-based Adventure Guiding telah mendedahkan para peserta kepada pelbagai aspek kritikal berkaitan penerokaan gua.

Sesi knowledge transfer beliau merangkumi pembentukan formasi gua (memahami struktur geologi serta ekosistem sensitif di dalam gua), peralatan eksplorasi (pengenalan kepada fungsi dan spesifikasi peralatan teknikal yang diperlukan), pengurusan risiko (kaedah menilai bahaya persekitaran serta pelan tindakan kecemasan), dan best practices (prosedur operasi untuk pelaksanaan aktiviti adventure caving tanpa menjejaskan keselamatan diri dan merosakkan alam sekitar).

Selain daripada perkongsian secara teori, Encik Mohamad Khairi turut mengaplikasikan kepakarannya secara praktikal. Beliau berganding bahu bersama kru penganjur dari AHR Adventure dalam mengendalikan dua aktiviti kemuncak yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta iaitu cave abseiling (penurunan menggunakan tali ke dalam gua) serta wet cave exploration (penerokaan laluan air di dalam gua) di sekitar kompleks Gua Gendang.

Sinergi di antara institusi pendidikan tinggi seperti STHEM dan pemain industri seperti AHR Adventure ini membuktikan bahawa gabungan ilmu akademik dan kemahiran teknikal mampu melonjakkan standard keselamatan serta profesionalisma dalam sektor pelancongan pengembaraan lasak (Adventure Tourism) di Malaysia.

Secara tidak langsung, penglibatan dan sumbangan kepakaran ini menterjemahkan komitmen jitu STHEM dan UUM sebagai penggerak utama dalam memacu evolusi industri pelancongan negara.

STHEM dan UUM bukan sahaja berfungsi sebagai pusat kecemerlangan akademik, malah bertindak sebagai pemangkin proaktif dalam menyokong pemain industri, peminat rekreasi, serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi merancakkan lagi perkembangan ekosistem pelancongan menerusi kepelbagaian aktiviti baharu serta promosi lokasi pelancongan berpotensi tinggi di Malaysia. – Aida Rasyidah Ahmad Muaen

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button