Campus

UUM raih pengiktirafan Anugerah Buku Negara 2024–2025

Gambar oleh Zuraizee Zulkifli

SHAH ALAM, 9 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan reputasinya dalam dunia penerbitan apabila berjaya menerima pengiktirafan dalam Anugerah Buku Negara 2024–2025. Kejayaan ini melibatkan beberapa kategori utama yang dimenangi oleh warga akademik UUM melalui karya yang diterbitkan oleh UUM Press.

Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi menzahirkan rasa bangga dan terharu atas pencapaian tersebut, yang disifatkan sebagai bukti komitmen universiti dalam memajukan ekosistem ilmu dan penerbitan ilmiah negara. “Kejayaan ini merupakan penghargaan terhadap usaha, dedikasi dan kecintaan warga UUM terhadap dunia perbukuan. Negara maju dengan buku, dan pengarang penerus nyala ilmu itu,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, pengiktirafan ini akan terus menjadi pemangkin kepada para pengarang, penyelidik dan tenaga akademik untuk terus menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu memberikan impak kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Bagi penerima anugerah dalam kategori Pengajian Tinggi untuk Buku Terjemahan Terbaik (Kaunseling Koreksional), Prof. Dr. Noor Azniza Ishak berkata anugerah yang diterima merupakan pengiktirafan kepada mereka untuk lebih berdaya saing dan terus menghasilkan karya berkualiti tinggi yang memberi impak positif kepada masyarakat serta bidang akademik.

Prof. Dr. Azniza, ditemani pasukan terjemahannya, turut menghadiri majlis penyampaian anugerah, memeriahkan suasana dan rata-rata mereka gembira dengan pengiktirafan yang diterima.

UUM Press turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang serta mengharapkan lebih banyak kejayaan dapat diraih pada masa hadapan melalui karya yang inovatif, berpengaruh dan sarat nilai pengetahuan. – Siti Nur Dina Johary

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button