Lawatan ke E-Idaman bincang potensi kolaborasi penyelidikan
Gambar Prof. Madya Dr. Norhaslinda Zainal Abidin dan Prof. Madya Dr. Ruzelan Khalid
ALOR SETAR, 9 Disember 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan rasmi ke E-Idaman di Wisma Idaman, baru-baru ini.

Lawatan yang disertai Pengarah Institute of Strategic Industrial Decision Modelling (ISIDM) SQS, Prof. Madya Dr. Norhaslinda Zainal Abidin; Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin dan Prof. Madya Dr. Ruzelan Khalid disambut oleh pengurusan E-Idaman, yang turut berkongsi perkembangan terkini syarikat dalam inisiatif digitalisasi operasi serta peningkatan kecekapan logistik kutipan sisa.
Dr. Norhaslinda berkata, lawatan ini bertujuan bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan berkaitan pengurusan dan kutipan sisa pepejal.
Sesi perbincangan berlangsung dalam suasana produktif, dengan kedua-dua pihak menunjukkan minat terhadap integrasi kepakaran akademik dan keperluan industri.

Antara bidang kolaborasi yang dikenal pasti termasuk penambahbaikan model laluan kutipan sisa pepejal yang telah dibangunkan oleh penyelidik SQS sedia ada.
Lawatan ini dianggap sebagai langkah awal yang penting ke arah memeterai kerjasama formal, sekali gus membuka ruang kepada peluang latihan industri, penyeliaan projek pelajar dan penghasilan penerbitan bersama.
Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada pembangunan ilmu, sektor pengurusan sisa dan komuniti setempat melalui penyelesaian yang berasaskan data dan inovasi. – Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin



