Education

Lawatan Industri MyCircle dan Kursus Seminar Pengurusan Operasi tutup tirai Program SULAM A251

Berita dan gambar Dr. Alminnourliza Noordin

SINTOK, 16 Disember 2025: Program SULAM (Service-Learning Malaysia – University for Society) bagi Kursus Seminar Pengurusan Operasi, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah melabuhkan tirainya melalui penganjuran lawatan industri yang berjaya memperkukuhkan pengalaman pembelajaran dunia sebenar dalam kalangan pelajar.

Rombongan yang terdiri dari 34 pelajar bersama tiga pensyarah pengiring yang juga merupakan penyelidik Unit Penyelidikan MyCircle STML, telah mengadakan lawatan ke K-Green Enviro Tech Sdn. Bhd., Lunas, Kulim, sebuah organisasi yang menyediakan kemudahan pengurusan sisa secara bersepadu.

Lawatan seterusnya diteruskan ke Pusat Kompos Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang yang merupakan hasil kerjasama strategik antara Majlis Bandaraya Seberang Perai, Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah, K-Green Enviro, dan GEC Green Enterprise.

Prof. Ts. Dr. Mohd Rizal Razalli, selaku pensyarah kursus dan Ketua Unit MyCircle STML berkata, lawatan industri ini merupakan komponen penting dalam pengukuhan pembelajaran kursus.

Menurutnya, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada teori di bilik kuliah, malah berpeluang menyaksikan secara langsung pelaksanaan proses pengurusan sisa dan kompos dalam operasi sebenar industri.

“Inisiatif ini menjadi contoh amalan terbaik penglibatan komuniti ke arah pengurusan sisa yang lebih mampan demi kelestarian alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, untuk memenuhi keperluan program SULAM, pelajar telah melaksanakan satu program Eco Heroes Geng 3R Plastic. Program ini melibatkan murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok dan komuniti sekitar bagi menjalankan aktiviti Waste to Money dengan Kerjasama E-Idaman. Pelajar dan komuniti berjaya mengumpul sebanyak 701 kilogram bahan yang boleh dikitar semula sepanjang  program hari tersebut.

Secara keseluruhannya, Program SULAM yang dijalankan sepanjang semester ini memberi penekanan kepada penglibatan aktif pelajar bersama komuniti dan industri melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, khususnya dalam aspek pengurusan sisa.

Lawatan industri tersebut menjadi penutup yang bermakna, sekali gus memperkukuh kemahiran insaniah dan kefahaman praktikal pelajar sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button