Education

Plogging di Padang Garam tutup tirai aktiviti kemasyarakatan 2025 SLCP

Berita dan gambar Dr. Jazliza Jamaluddin

KUALA KEDAH, 21 Disember 2025: Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia bersama Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan aktiviti plogging di Port Padang Garam yang diadakan bersama-sama dengan gotong royong di Masjid Al-Ma’arufi di Kuala Kedah.

Perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Mohd. Salleh Saidin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan.

Port Padang Garam di Kuala Kedah telah dibangunkan menjadi kawasan pelancongan baharu supaya orang ramai dapat mengunjungi tempat ini untuk healing bersama keluarga. Di waktu petang terdapat jualan oleh peniaga yang mencari rezeki setelah kawasan ini dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang dahulunya adalah kawasan semak belukar. Namun, kawasan ini tidak dimanfaat secara baik oleh masyarakat dengan  sampah sarap yang dibuang di kawasan sekitar terutama di celah-celah batu.

Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, gabungan pensyarah, pelajar SLCP dan masyarakat setempat telah bekerjsama membersihkan kawasan ini bermula dari jam 9 pagi sehingga 11.30 pagi.

Menurutnya, hasilnya banyak sampah sarap yang telah dikumpulkan telah memberi satu impak positif dalam kalangan penduduk kampung di Kuala Kedah atas kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar untuk dinikmati bersama.

“Ini secara langsung dapat memberi kefahaman pada pelajar BAH, SLCP khususnya tentang kepentingan memelihara alam semulajadi supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Kuala Kedah, Salleh Mahmud berkata, usaha yang telah dilakukan oleh pensyarah dan pelajar SLCP, UUM ini adalah aktiviti pertama buat julung kalinya diadakan plogging yang sebelum ini tidak pernah ada dari sebarang institusi pengajian tinggi mahupun agensi datang ke kawasan ini untuk membersihkan kawasan di sini.

Bagi pelajar dan pensyarah SLCP, UUM pula rata-rata berpuas hati dapat menyumbang tenaga dan berharap di masa hadapan akan ada lagi aktiviti serupa ini yang bakal diadakan di kawasan yang sama atau lokasi lain.

Program ini ditamatkan dengan jamuan makan tengahari bersama penduduk setempat yang telah bergotong royong memasak untuk aktiviti plogging dan membersihkan masjid sebagai penutup tirai khidmat masyarakat pada tahun 2025 ini.

Aktiviti ini turut disertai oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SLCP, Prof. Madya Dr. Nor Azlah Sham Rambely, pelajar program Sarjana Muda Sejarah Gunaan (BAH) dari Kohort 3 dan Kohort 4 bersama pensyarah program dan ahli Jawatankuasa Pembangunan Pelajar SLCP.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button