Education

SULAM UUM perkasa 16 usahawan Changlun, pelajar SMMTC jadi pemacu digital

Universiti, komuniti dan industri bergabung tenaga untuk mengubah wajah perniagaan tempatan

Gambar Prof. Madya Dr. Sabrina Mohd Rashid dan Nur Fadziana Faisal Mohamed

CHANGLUN, 21 Disember 2025: Seramai 16 usahawan kecil di Changlun kini diberi nafas baharu apabila pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) turun padang melalui program Service-Learning Malaysia – Universiti for Society (SULAM).

Misi mereka jelas iaitu membantu usahawan menguasai komunikasi strategik dan pemasaran digital agar perniagaan lebih berdaya saing. Sebelum ini, ramai usahawan berdepan cabaran besar iaitu kurang promosi dan halangan komunikasi pelanggan.

Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Norhafezah Yusof berkata, produk mereka bagus, cuma saluran untuk mencapai pelanggan boleh diperkasakan lagi.

“Kami mahu pelajar belajar melalui pengalaman sebenar sambil memberi impak kepada komuniti,” katanya.

Program ini bukan sekadar teori, sebaliknya pelajar SMMTC membimbing usahawan membina video pendek, mencipta kandungan, katalog digital, penjenamaan semula, perisian aplikasi dan strategi media sosial yang mampu menarik pelanggan baharu.

Mereka juga melatih usahawan tentang cara menjawab mesej pelanggan dengan pantas dan membina naratif jenama yang meyakinkan.

Kerjasama ini turut mendapat sokongan daripada FAMA Pasar Tani Kekal (PTK) Changlun dan Persatuan Peniaga Kecil Changlun, dengan penglibatan aktif Prof. Madya Dr. Sabrina Mohd Rashid serta Nur Fadziana Faisal Mohamed sebagai pensyarah yang mengajar kursus SCCTK2213 Kreativiti dan Strategi Periklanan dan SCCVK3053 Perkhidmatan Teknologi Internet bagi Semester A251.  Inisiatif ini selaras dengan SDG 8 (Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Sementara itu, Pengurus PTK Changlun, FAMA, Norazize Yusoff berkata, program ini sangat membantu usahawan kecil yang sebelum ini kurang pendedahan kepada pemasaran digital.

Menurutnya, dengan sokongan universiti, mereka bukan sahaja belajar teknik promosi, tetapi juga membina keyakinan untuk bersaing di pasaran.

Katanya, FAMA komited untuk terus bekerjasama dengan UUM bagi memperluas impak untuk kepentingan bersama.

Wakil usahawan, Rohaimi berkata, impak awal sudah kelihatan melalui pertanyaan pelanggan melalui WhatsApp dan media sosial meningkat, dan beberapa usahawan melaporkan jualan hujung minggu lebih baik selepas penjenamaan semula.

“Dulu pelanggan tanya-tanya, tapi tak jadi beli. Sekarang bila ada video dan harga jelas, mereka terus buat pesanan,” katanya.

Ketua Kumpulan SULAM, Abdul Razif Johari berkata, daripada projek SULAM ini mereka belajar cara berniaga secara realiti bukan sekadar tengok dan lihat, malah turut membantu peniaga tersebut.

“Alhamdulilah kami dapat lihat kegembiraan yang terpancar pada wajah peniaga tersebut itulah momen terindah bagi kumpulan kami.

“Kami dapat meningkatkan kemahiran kerja berpasukan, komunikasi dan kreativiti. Penglibatan secara langsung dengan peniaga menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan praktikal sepanjang projek SULAM ini dijalankan,” katanya.

Pelajar tahun akhir SMMTC, Nurul Aina Mohamad Zulkifli berkata, program ini memberikan satu pengalaman kepada mereka kerana dari situ dia belajar cara berkomunikasi dengan klien sebenar, bukan sekadar teori dalam kelas.

Menurutnya, apabila usahawan gembira dengan hasil kerja mereka, itu memberikan satu kepuasan.

“Kami sedar pemasaran digital bukan sekadar buat posting, tetapi perlu strategi dan analisis. Ini pengalaman yang akan kami bawa ke dunia kerja, katanya.

Program ini membuktikan universiti bukan hanya menara gading, tetapi rakan strategik komuniti. Penghargaan khusus kepada Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) atas sokongan melalui Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) yang menjadi pemangkin kejayaan projek ini. – Prof. Dr.  Norhafezah Yusof, Prof. Madya Dr. Sabrina Mohd Rashid dan Nur Fadziana Faisal Mohamed

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button