Campus

Pelajar SQS terokai aplikasi reka bentuk eksperimen dalam bidang perikanan di Pulau Sayak

Gambar: Dr. Malina Zulkifli

PULAU SAYAK, 21 Disember 2025: Seramai 43 orang pelajar kursus SQQSK3103 Reka Bentuk dan Analisis Ujikaji (Design and Analysis of Experiment), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan akademik ke Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Pulau Sayak, bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap aplikasi reka bentuk eksperimen dalam situasi sebenar, khususnya dalam bidang perikanan dan akuakultur.

Lawatan ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada kaedah penyelidikan dan inovasi yang dijalankan oleh para penyelidik institut dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan kualiti hasil perikanan seperti udang, kerang, latok dan gamat.

Sepanjang lawatan, pelajar diberi penerangan terperinci mengenai proses penyelidikan, reka bentuk eksperimen, pengumpulan data serta analisis yang digunakan bagi menyokong pembangunan industri perikanan yang mampan.

Para pelajar turut dibawa melawat fasiliti penyelidikan dan tapak eksperimen, di mana mereka dapat melihat sendiri bagaimana konsep teori yang dipelajari di dalam kelas diaplikasikan dalam penyelidikan sebenar.

Antara tarikan utama lawatan ini ialah peluang melihat udang galah secara langsung, sekali gus memahami aspek pemeliharaan, pemantauan pertumbuhan dan pengurusan persekitaran ternakan.

Selain itu, pelajar juga berpeluang merasai latok segar, memberikan pengalaman pembelajaran yang unik dan bermakna dengan menggabungkan elemen akademik dan pengalaman fizikal.

Sesi perkongsian ilmu oleh para penyelidik FRI turut berlangsung secara interaktif yang membincangkan mengenai cabaran serta inovasi dalam penyelidikan perikanan.

Lawatan ini telah membuka minda pelajar terhadap kepentingan reka bentuk eksperimen yang sistematik dalam menyokong penyelidikan berimpak tinggi serta penghasilan inovasi berasaskan data.

Penglibatan secara langsung dengan penyelidik profesional turut memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka potensi penyelidikan dalam bidang sains gunaan dan industri perikanan.

Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini berjaya menghubungkan teori dan amalan, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar serta memperkukuh kefahaman mereka terhadap kepentingan reka bentuk eksperimen dalam penyelesaian masalah dunia sebenar. – PM Dr. Suhaida Abdullah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button