SOC SULAM: Menyulam Ilmu dengan empati, mentransformasi komuniti
Berita dan gambar oleh Prof. Madya Dr. Husniza binti Husni
CHANGLUN, 20 Disember 2025: Program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) oleh School of Computing (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dilaksanakan secara strategik melalui pengintegrasian dalam dua kursus akademik SOC, sekali gus memperkukuh pembelajaran berimpak tinggi yang menghubungkan ilmu, empati dan realiti komuniti.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan khidmat ini, pelajar bukan sahaja mengaplikasikan pengetahuan pengkomputeran dalam situasi sebenar, malah melalui proses empathize iaitu mendengar, memahami dan merasai pengalaman komuniti setempat sebelum merangka sebarang penyelesaian.
Pendekatan ini memastikan setiap idea dan intervensi dibangunkan berlandaskan keperluan sebenar masyarakat, bukan sekadar andaian akademik.

Inisiatif ini menyokong aspirasi Changloon Transformation Program (CTP) UUM yang menekankan pembangunan komuniti secara inklusif dan lestari melalui hubungan dua hala antara universiti dan masyarakat.
Dengan empati sebagai teras, pelajar dididik untuk melihat komuniti sebagai rakan kolaborasi, bukan sekadar penerima manfaat.
Program SOC SULAM ini mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari sudut teknikal dan akademik, tetapi juga berjiwa insaniah, beretika dan bersedia menjadi ejen perubahan sosial yang berkesan.



