TNB perkenalkan Sistem Bayaran MyTNBiz kepada UUM
Berita dan gambar Basharuh Bakar
JITRA, 24 Disember 2025: Bagi memudahkan tugasan menginput data akaun serta mempercepatkan pembayaran bil elektrik di Universiti Utara Malaysia (UUM), yang juga melibatkan perumahan pelajar di Inapan Siswa (Inasis) Luar Kampus, pihak Tenaga Nasional Berhad memperkenalkan aplikasi terbaharu mereka iaitu myTNBiz.
Pengarah Pusat Penginapan Pelajar, Ahmad Mujahid Abd Ghani berkata, hasil dari perbincangan antara UUM dan TNB ini akan memudahkan proses pembayaran bil-bil elektrik kepada TNB dan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, sistem baharu ini akan dapat memudahkan proses pembayaran bil elektrik UUM kepada TNB, selain daripada memudahkan kerja pengurusan bayaran bil elektrik, pihak Inasis juga dapat memantau pembayaran bil perumahan pelajar dari semasa ke semasa.
Sementara itu, wakil TNB dari Unit Pemulihan Kredit Utama dan Prestasi Negeri Kedah, Muhammad Firdaus Abd Khoder berkata, TNB sentiasa bersedia berkerjasama dan membantu UUM dalam proses untuk memudahkan dan meningkatkan perkhidmatan kepada semua pelanggan.
Perbincangan antara pihak TNB turut disertai oleh Aqiel Mazli (Team Member Customer Engagement State Kedah) dan Bushra Baharom (Customer Care Officer TNB Jitra – Pengurus Retail TNB Jitra), manakala UUM disertai oleh wakil Jabatan Bendahari, Mohd Zamri Md Zain dan Pengetua Inasis Luar Kampus, Mohd Sukri Othman.



