Campus

Kursus E-Perolehan perkasa kefahaman peserta dalam pengurusan perolehan digital

Gambar Pelajar Praktikum PPKKG

SINTOK, 24 Disember 2025: Seramai 58 peserta telah menyertai Kursus E-Perolehan yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) dengan kerjasama strategik Tatacara Sdn. Bhd., pada 19 dan 20 Disember lalu.

Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari berkata, program ini bertujuan untuk memberikan pemahaman menyeluruh kepada peserta berkaitan pengurusan perolehan secara digital, khususnya melibatkan pengurusan pembekal, penyelenggaraan katalog, serta proses pembelian terus dan tender melalui penggunaan sistem ePerolehan (eP) baharu yang digunakan secara meluas dalam sektor awam dan swasta.

Menurutnya, penganjuran kursus seperti ini amat penting dalam menyokong pembangunan kebolehpasaran graduan dan kesiapsiagaan kerjaya.

“Pendedahan kepada sistem e-Perolehan bukan sahaja meningkatkan kefahaman teknikal peserta terhadap proses perolehan digital, malah membantu membina keyakinan diri, kemahiran membuat keputusan serta kesiapsiagaan mental untuk berhadapan dengan persekitaran kerja yang semakin digital dan kompetitif.

“Selain itu, program ini turut berperanan meningkatkan kefahaman perniagaan, daya saing serta keyakinan diri peserta, khususnya dalam kalangan bakal graduan dan usahawan muda,” katanya.

Nur Farah turut menegaskan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan amalan sebenar industri mampu membantu peserta memahami realiti dunia pekerjaan dengan lebih jelas, seterusnya meningkatkan potensi mereka untuk berjaya dalam kerjaya atau bidang keusahawanan.

Kursus ini dirangka secara komprehensif dengan merangkumi aspek tatacara teknikal, pematuhan peraturan serta dokumentasi berkaitan pembekalan dan perolehan digital, selari dengan keperluan semasa industri dan kehendak pasaran kerja.

Penglibatan Tatacara Sdn. Bhd. sebagai rakan industri telah memberi nilai tambah kepada program melalui perkongsian pengalaman sebenar, amalan terbaik serta pendedahan kepada situasi praktikal dalam pengurusan perolehan.

Sepanjang dua hari program, peserta turut didedahkan dengan pelbagai kemahiran praktikal termasuk penyediaan kertas cadangan perniagaan yang profesional, kaedah pelaksanaan pembelian terus, pengurusan sebut harga dan proses tender secara sistematik.

Kerjasama strategik antara UUM dan Tatacara Sdn. Bhd. ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh jaringan industri bagi memastikan program pembangunan pelajar dan graduan sentiasa relevan, praktikal serta sejajar dengan kehendak industri semasa.

Penganjuran kursus ini diharap dapat memberi manfaat kepada peserta dan pelajar dalam meningkatkan pengetahuan serta kemahiran berkaitan perolehan digital, seterusnya menjadi nilai tambah kepada kebolehpasaran dan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi alam pekerjaan. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button