Majlis Apresiasi & Persaraan Staf SoE: Menyemai Kasih, Menghargai Jasa
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 28 Disember 2025: Suasana penuh penghargaan dan emosi mewarnai Majlis Apresiasi dan Persaraan Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) yang telah berlangsung dengan jayanya pada Selasa lalu sebagai tanda pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan, dedikasi serta jasa bakti warga pendidik SoE sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Majlis berprestij ini telah dirasmikan oleh Dekan SoE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, sekali gus melambangkan sokongan padu kepimpinan fakulti dalam membudayakan amalan menghargai insan serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan warga akademik dan pentadbiran.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa setiap kejayaan dan pencapaian institusi tidak pernah terpisah daripada komitmen, keikhlasan serta integriti para staf yang telah mencurahkan khidmat dengan penuh profesionalisme dan kasih terhadap dunia pendidikan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada staf yang diraikan atas legasi ilmu, nilai murni dan sumbangan bermakna yang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi pendidik seterusnya,” katanya.

Majlis ini dikemudi dan diterajui oleh Pengarah Program, Dr. Nor Asikhin Ishak, yang berjaya menyusun atur keseluruhan program dengan penuh tertib, berjiwa besar dan menyentuh perasaan.
Di bawah kepimpinannya, majlis ini bukan sekadar sebuah acara formal, malah menjadi wadah menyatukan kenangan, penghormatan serta rasa terima kasih yang tulus daripada seluruh warga SoE.
Antara pengisian utama yang mencuri tumpuan sepanjang majlis berlangsung termasuk segmen penghargaan khas kepada staf yang bersara, penyampaian cenderahati dan sijil apresiasi sebagai simbol kenangan dan penghormatan serta tayangan montaj kenangan yang merakam perjalanan perkhidmatan dan sumbangan staf.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan SoE, pensyarah, staf pentadbiran serta warga universiti yang bersama-sama menyaksikan detik bersejarah ini dalam suasana penuh harmoni, mesra dan kekeluargaan.
Sesungguhnya, Majlis Apresiasi dan Persaraan Staf SoE bukan sahaja menutup lembaran perkhidmatan dengan penuh kemuliaan, malah membuka lembaran baharu legasi nilai, inspirasi dan teladan untuk terus disemai dalam ekosistem pendidikan Universiti Utara Malaysia. – Dr. Nor Asikhin Ishak



