Education

Karnival IBS 2025 merakyatkan kewangan Islam, perkasa halal di Felcra Lubuk Sireh

Gambar Muhammad Farhan Jamil (Pelajar Intern STF IBS)

PERLIS, 5 Januari 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menganjurkan Karnival Kewangan Islam dan Pengurusan Halal 2025 bertempat di Felcra Lubuk Sireh, Perlis, dengan penglibatan aktif komuniti setempat serta sokongan padu pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, IBS, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab berkata, penganjuran karnival ini bertujuan untuk merakyatkan ilmu kewangan Islam dan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan belia dan keluarga luar bandar, terhadap kepentingan pengurusan kewangan patuh syariah serta pematuhan konsep halal dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, program ini juga menjadi platform pengukuhan hubungan strategik antara institusi akademik, agensi pelaksana dan komuniti.

Pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, kemasyarakatan dan kekeluargaan telah dianjurkan sepanjang karnival berlangsung. Antara pengisian utama ialah Cakna Kewangan Islam bagi Belia, yang memberi pendedahan awal berkaitan perancangan kewangan, simpanan dan perlindungan patuh syariah.

Program gotong-royong rewang kenduri rakyat turut dianjurkan bagi memupuk semangat kerjasama dan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

Selain itu, karnival ini turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna dan pertandingan Master Chef Kerabu, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Karnival ini turut menampilkan pameran dan kaunter perkhidmatan daripada pelbagai agensi, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Klinik Kesihatan Kaki Bukit, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), CelcomDigi Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Dana Sosial Takaful (STF), RHB Investment Alor Setar, RHB Bank, YAWATIM dan UNISIRAJ.

Kehadiran agensi-agensi ini memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta perkhidmatan secara terus. Selain itu, Jualan Rahmah anjuran KPDN turut diadakan sebagai inisiatif membantu meringankan kos sara hidup komuniti setempat, selari dengan agenda kesejahteraan rakyat.

Majlis perasmian Karnival Kewangan Islam dan Pengurusan Halal 2025 telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah FWD Takaful Berhad, Prof. Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin.

Dalam ucapannya menekankan kepentingan penguasaan literasi kewangan Islam dan pengurusan halal sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera, berdaya tahan dan mampan.

Secara keseluruhannya, penganjuran karnival anjuran Pusat Pengajian Perniagaan Islam ini berjaya mencapai objektif sebagai sebuah platform perkongsian ilmu, penyampaian perkhidmatan dan pemerkasaan komuniti, sekali gus menyokong usaha memperkukuh ekosistem kewangan Islam dan gaya hidup halal di peringkat akar umbi. – Dr. Nor Syahidah Ishak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button