Education

Fun Walk Kebun Getah galak gaya hidup sihat penduduk Felcra Lubuk Sireh dan IBS

Gambar Muhammad Farhan Jamil (Pelajar Intern STF IBS)

PERLIS, 5 Januari 2026: Satu program komuniti telah diadakan di Felcra Lubuk Sireh dikenali sebagai “Fun Walk Kebun Getah dan Gotong Royong Masjid” yang merupakan sebahagian dari aktiviti yang dilaksanakan sempena Karnival Kewangan Islam dan Pengurusan Halal 2025 anjuran bersama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Felcra Lubuk Sireh.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, IBS, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab berkata, program ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat secara semula jadi iaitu dengan memberi peluang kepada peserta untuk menerokai kebun getah dan melibatkan diri dalam aktiviti membersihkan kawasan masjid.

Aktiviti yang dijalankan sepanjang program merangkumi pelbagai pengalaman unik di mana pelajar bukan sahaja mengambil bahagian dalam aktiviti fun walk, tetapi juga diberikan peluang untuk melihat dan mencuba cara menoreh pokok getah dengan betul.

Selain itu, mereka juga terlibat dalam aktiviti mencari biji getah di sekitar kebun, menjawab kuiz berkaitan dengan Felcra dan Universiti Utara Malaysia (UUM), serta berpengalaman menaiki kenderaan lasak yang sering digunakan di kebun getah seperti lori dan jentolak.

Program ini memberikan pendedahan berharga kepada pelajar tidak hanya mengenai pokok getah, tetapi juga kehidupan komuniti di Felcra. Mereka berkesempatan untuk bersilaturahim dengan penduduk setempat, merasakan pengalaman menoreh getah, dan melihat hasil yang diperolehi secara realiti.

Selain itu, diadakan juga aktiviti gotong royong di masjid serta melibatkan perkongsian dari pihak masjid berkaitan cara mandikan jenazah dan membersihkan kawasan masjid, memberi pelajar pemahaman yang lebih mendalam mengenai fungsi masjid dalam komuniti.

Pelajar Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Muhammad Zafran Fadzil berkata, mereka sangat gembira dengan program ini dan banyak perubahan positif dalam diri dari segi keyakinan serta hubungan silaturahim yang lebih erat dengan rakan-rakan.

“Sebelum ini, saya merasa agak malu dan kurang yakin, tetapi selepas menyertai program ini, saya merasa lebih dekat dengan kawan-kawan.

“Selain itu, ini merupakan kali pertama saya melihat pokok getah dari jarak yang sangat dekat dan menyentuh susu getah yang asli dari pokok,” katanya.

Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat dan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan. –  Dr. Siti Hajar Salwa Ahmad Musadik

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button