General

Dapur Siswa MADANI agih makanan berasaskan retort kepada pelajar memerlukan

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 1 Januari 2026: Dalam suasana semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup serta cabaran ekonomi semakin mencabar, Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkenalkan Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, program ini bukan dilaksanakan semata-mata kerana ianya bagus tetapi ia merupakan inisiatif dalam usaha mengurangkan isu pelajar yang memerlukan makanan.

Menurutnya, Foodbank yang ada sekarang dalam kampus ini tidak mencukupi untuk diletakkan di semua Inapan Siswa (Inasis), malah ada segelintir pelajar yang malu untuk mengambil Foodbank.

Katanya, pihak UUM kini menggunakan kumpulan sasaran untuk memberi bantuan terus kepada pelajar yang memerlukan melalui Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM ini.

“Kita menggunakan amalan yang telah dilaksanakan oleh universiti lain seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menggunakan program retort ini.

“UUM minta pengetua Inasis untuk pergi ke universiti itu untuk melihat bagaimana ia dilaksanakan. Kita mahu tunjuk komitmen yang tidak berbelah bahagi dengan memastikan semua terlibat dan tiada terkecuali dari atasan sampai ke bawah termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sendiri,” katanya ketika melancarkan Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM di Inasis Proton, pagi tadi.

Beliau berharap tiada lagi yang memperlekehkan isu pelajar, justeru pihak pentadbiran kena selesaikan segala permohonan bantuan pada kadar segera dan tidak ditangguhkan.

Menurutnya, sebagai tanggungjawab pentadbir universiti, mainkan peranan diberikan kerana siapa lagi yang akan menjaga pelajar ini jika bukan pihak universiti. Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke universiti dengan harapan akan dijaga sebaik mungkin.

“Apabila masuknya 2026, saya mahu komitmen semua agar pelajar yang memerlukan diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya. Jika mereka tidak datang, kita sendiri akan turun padang pergi mencari dan tolong.

“Falsafah turun padang sudah menjadi amalan semua pentadbiran universiti tanpa mengira latar belakang dan pangkat, jika tidak mahu disoal di akhirat kelak. Jadi, kita bersama-sama berganding bahu membantu pelajar tersebut dan berharap inovasi ini diteruskan untuk memastikan kebajikan pelajar dijaga,” katanya.

Dalam usaha merealisasikan pelaksanaan program ini, UUM melalui Pusat Zakat dan Wakaf UUM telah memperuntukkan kira-kira RM70,000 bagi pembelian dua mesin retort iaitu teknologi pembungkusan makanan yang mampu mengekalkan ketahanan makanan sehingga dua tahun.

Menariknya, tukang masak akan dilantik daripada komuniti kampung berhampiran UUM, khususnya di Bukit Tangga, selain melibatkan pelajar sebagai sukarelawan untuk dilatih dalam proses pembungkusan makanan.

Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainuddin Omar berkata, program anjuran Biro Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan, Majlis Pengetua Inasis ini adalah untuk mewujudkan satu rangkaian keselamatan makanan yang lebih sistematik dan mampan bagi komuniti pelajar UUM.

Menurutnya, program ini bukan sekadar memberikan bantuan makanan ad-hoc, tetapi ia merupakan satu manifestasi tanggungjawab moral universiti dalam menjaga kesejahteraan holistik pelajar.

Katanya, dengan penyediaan pek makanan berkhasiat dan seimbang ini, beliau berharap pelajar dapat memberi fokus sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik tanpa dibebani kegusaran tentang keperluan asas.

“Saya yakin dengan sokongan kewangan melalui Akaun Bantuan Sara Hidup Pelajar ini, seramai 800 pelajar sasaran akan menerima manfaat yang signifikan, seterusnya menjadi contoh kepada pengurusan kebajikan pelajar yang lebih inovatif pada masa hadapan,” katanya.

Turut berlangsung sesi penyerahan MADANI ResQ Pek kepada wakil Inasis yang disampaikan Naib Canselor.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali, Yang Dipertua MPP, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal, dekan-dekan dan pengetua.

#TakLapaqDah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button