Program POTENSI 2025 rai pelajar SMK Seri Pantai dan SMK Tengku Laksamana
Berita dan gambar Prof Madya Dr. Farah Mohamad Zain
SINTOK, 5 Disember 2026: Majlis Penutup Program POTENSI 2025 telah berjaya diadakan pada 24 Disember lalu di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai dan SMK Tengku Laksamana yang telah menyertai program berkenaan sepanjang tahun ini.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, iaitu Ishak Awang.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen UUM dalam menyokong agenda pendidikan negeri melalui pendekatan kolaboratif yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.
Program POTENSI atau Program Orientasi Tuisyen Empati, Nasihat, Sokongan & Inspirasi merupakan salah satu inisiatif utama UUM di bawah Program Kampung Angkat MADANI. Program ini menekankan nilai keprihatinan, kemampanan dan kesejahteraan komuniti sejajar dengan aspirasi pembinaan Masyarakat MADANI.
Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, program ini dirancang khusus bagi membantu murid Tingkatan 5 SMK Seri Pantai dan SMK Tengku Laksamana yang memerlukan sokongan akademik dan motivasi, khususnya dalam empat subjek iaitu Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Prinsip Perakaunan.

“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang, demi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berakhlak mulia, berdaya tahan dan berinspirasi selaras dengan cita-cita pembentukan masyarakat MADANI,” katanya.
Program POTENSI 2025 telah berlangsung selama enam bulan, bermula dari Jun hingga Disember 2025, dengan sesi tuisyen dilaksanakan setiap hari Sabtu.
Seramai 98 pelajar dari SMK Seri Pantai dan 50 pelajar dari SMK Tengku Laksamana telah terlibat secara aktif dalam program ini.
Kejayaan penganjuran POTENSI 2025 merupakan hasil sinergi erat antara UUM dan Kampung Tengah, Kuala Kedah selaku Kampung Angkat MADANI di Kedah, yang bersama-sama komited dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan.
POTENSI 2025 bukan sekadar sebuah program tuisyen, malah merupakan manifestasi komitmen UUM dalam mendukung pendidikan inklusif, membina modal insan berkualiti, serta menyantuni komuniti secara holistik dan berterusan.



