Dari Sintok ke Lubuk Sireh: Program Penyerahan Anak Angkat IBS Bersama Komuniti FELCRA Lubuk Sireh
Gambar Muhammad Farhan Jamil (Pelajar Intern STF IBS)
PERLIS, 5 Januari 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama FELCRA Lubuk Sireh telah menganjurkan Program Penyerahan Anak Angkat yang melibatkan seramai 40 pelajar dari IBS kepada 13 keluarga angkat di FELCRA Lubuk Sireh.
Program ini adalah sebahagian daripada Program Komuniti Pusat Pengajian Perniagaan Islam, “Dari Sintok ke Lubuk Sireh” yang berlangsung selama tiga iaitu pada 18 sehingga 20 Disember tahun lalu.

Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar IBS, UUM dan komuniti setempat selain memberi peluang kepada mereka untuk merasai kehidupan masyarakat luar kampus dan juga menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar di samping merapatkan hubungan di antara pelajar IBS bersama-sama penduduk setempat.
Majlis penyerahan anak angkat telah diadakan dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni dengan setiap pelajar dipadankan dengan keluarga angkat yang telah dikenal pasti terlebih dahulu bagi tujuan memastikan kebajikan dan keselesaan pelajar terjaga sepanjang program.
Pihak keluarga angkat juga memberi komitmen yang sangat tinggi dalam menerima pelajar IBS dan suasana kekeluargaan jelas terpancar di sepanjang majlis berlangsung yang menjadi detik bermakna buat semua yang terlibat.
“IBS amat berbesar hati dengan sambutan dan penerimaan yang sangat baik daripada pihak Felcra Lubuk Sireh yang memberikan sokongan penuh serta komitmen tinggi dalam menjayakan program ini.
“Anak-anak pelajar semua haruslah menjaga nama baik IBS serta menjaga sikap dan tingkah laku sepanjang berada bersama keluarga angkat,” katanya.
Sepanjang tempoh program, pelajar didedahkan dengan kehidupan harian masyarakat FELCRA yang melibatkan pelajar untuk membantu dalam aktiviti seharian keluarga angkat seperti memasak, berkebun, menoreh getah dan juga berniaga. Pengalaman ini memberi pendedahan awal tentang realiti kehidupan bermasyarakat selain mempraktikkan nilai empati, toleransi dan kerjasama selari dengan objektif pembelajaran holistik yang diterapkan oleh IBS dalam membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan lain turut diadakan seperti aktiviti ziarah, gotong-royong, kenduri rakyat, sukaneka bersama penduduk kampung dan diakhiri dengan Festival Kewangan Islam dan Pengurusan Halal.
Secara keseluruhannya, Program Penyerahan Anak Angkat ini telah mencapai objektif yang bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan universiti dengan komuniti setempat, malah memberi pengalaman berharga kepada para pelajar IBS.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua keluarga angkat yang terlibat dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Kerjasama erat antara universiti dan komuniti FELCRA Lubuk Sireh akan terus diperkukuhkan dan program ini menjadi simbol kejayaan hubungan dua hala yang cukup bermakna. – Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud



