Campus

Program Komuniti Outreach: Kem Motivasi Kecemerlangan Pelajar Orang Asli Kensiu

Berita dan gambar Azimah Ahmad

SINTOK, 11 Januari 2026: Program Komuniti Outreach: Kem Motivasi Kecemerlangan Pelajar Orang Asli Kensiu telah dilaksanakan dengan jayanya selama dua hari pada 7 Januari lalu di Kem PLKN, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta Kelab PERKIM UUM.

Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar Orang Asli Kensiu mengenai kepentingan pendidikan, membina keyakinan diri, serta membuka ruang aspirasi masa depan melalui motivasi dan bimbingan.

“Pendidikan adalah jalan terbaik untuk memperkasakan komuniti Orang Asli dan membuka peluang kepada generasi muda untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti telah disusun dengan baik bagi memastikan peserta memperoleh pengalaman yang bermakna. Antaranya, peserta dibawa melawat ke Anjung Tamu dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah sebelum meneruskan aktiviti di Kem PLKN yang merangkumi beberapa slot yang menarik.

Slot Ice Breaking dan Slot “Who We Are” yang memberi inspirasi tentang cita-cita dan masa depan di mana suasana program turut disemarakkan dengan aktiviti riadah seperti sukaneka pada waktu petang, manakala pada waktu malam peserta mengikuti Slot Bicara Santai bersama Dr. Amierul Hakim yang menyuntik motivasi dan semangat Baharu buat anak-anak orang asli.

Hari kedua dimulakan dengan aktiviti Treasure Hunt yang menguji kerjasama dan kreativiti peserta. Seterusnya, Slot khas iaitu “Nasihat Abah” disampaikan oleh Pengarah IPIZ, Dr. Abdul Halim yang menekankan kepentingan pendidikan sebagai kunci utama membina masa depan lebih cerah.

Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran wakil LZNK, Mohd Khairi Ishak daripada Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial yang menyampaikan pesanan agar anak-anak Orang Asli terus berusaha menimba ilmu dan memanfaatkan peluang pendidikan yang ada.

Program ini telah disertai oleh seramai 36 pelajar Orang Asli Kensiu bersama empat pengiring dengan bimbingan 10 fasilitator daripada Kelab PERKIM UUM serta sokongan staf IPIZ.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa pendidikan komuniti Orang Asli Kensiu, pihak UUM Press turut menyumbangkan buku kepada peserta. Kehadiran fasilitator, staf IPIZ, serta sokongan daripada LZNK dan UUM Press telah melengkapkan aspirasi program untuk memperkukuh sahsiah dan akademik pelajar Orang Asli Kensiu.

Secara keseluruhannya, Program Komuniti Outreach ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan menjadi pemangkin semangat kepada pelajar Orang Asli Kensiu untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button