Education

Pelajar SOL perkukuh profesionalisme dalam National Client Consultation Competition 2026

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim

SHAH ALAM, 13 Januari 2026: Pelajar daripada Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah merangkul naib johan dalam National Client Consultation Competition (NCC) 2026 yang berlangsung pada 10 Januari lalu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Pertandingan ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan bagi memperkasakan komitmen serta tahap profesionalisme yang tinggi dalam kalangan pelajar undang-undang.

Pasukan UUM telah diwakili oleh empat pelajar terdiri dua pelajar Semester 7, Teo Kai Ting dan Aini Khadijah Mat Yusof serta pelajar Semester 3, Chen Lit Zhe dan Loke Wei Feng.

Pasukan ini telah mempamerkan keupayaan analisis, kemahiran komunikasi serta etika profesional yang mantap sepanjang pertandingan berlangsung dan telah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM700, manakala johan pada tahun ini disandang pasukan daripada pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pertandingan pada tahun ini bertemakan “Use of Land” yang menumpukan kepada simulasi sesi konsultasi klien berkaitan isu penggunaan tanah.

Sebanyak enam kumpulan daripada institusi pengajian tinggi terkemuka telah mengambil bahagian iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abd Wahab berkata, pertandingan seumpama ini merupakan platform penting dalam melahirkan graduan undang-undang yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

Menurutnya, pendedahan kepada situasi simulasi sebenar membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan teori ke dalam konteks praktikal, di samping memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal dan keyakinan diri.

“Pengalaman ini amat berharga dalam mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran dunia kerjaya dan memenuhi kehendak industri perundangan pada masa hadapan,” katanya.

Secara keseluruhannya, penyertaan dalam NCC 2026 telah berjaya mencapai objektif penganjur dalam memperkasa kemahiran profesional pelajar serta mengukuhkan reputasi UUM sebagai institusi yang komited dalam pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button