Campus

Idea inovatif Dr. Maheera hasilkan perabot dari sisa gula MSM, tarik minat SWCorp untuk bekerjasama

Berita dan gambar Nur Azean Baharom

SINTOK, 15 Januari 2026: Idea inovatif yang diterajui oleh Dr. Maheera Mohamad dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logsitik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam menghasilkan perabot daripada sisa gula (pressmud) MSM Malaysia Holdings Berhad telah berjaya menarik minat strategik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendorong kepada perbincangan kerjasama strategik tiga hala.

Perbincangan dalam talian tersebut diadakan bagi meneroka potensi pengkomersialan dan peluasan aplikasi produk inovatif Waste-to-Wealth (Sisa kepada Kekayaan) itu, yang berpotensi digunakan sebagai bahan binaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perabot taman rekreasi.

SWCorp yang diwakili oleh Pengarah Bahagian Sisa Industri, Komersial dan Institusi, Mazwin Mohamad menyatakan keyakinan terhadap potensi besar idea Dr. Maheera.

Mazwin berkata, inisiatif penghasilan perabot daripada pressmud ini selari sepenuhnya dengan visi SWCorp ke arah ekonomi kitaran dan pengurusan sisa mampan.

“Kami yakin dengan penyelidikan dan kerjasama yang lebih mendalam, produk ini boleh dinaik taraf untuk aplikasi yang lebih meluas seperti dalam sektor pembinaan awam,” katanya.

UUM diwakili oleh Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim yang akan menyumbangkan kepakaran dalam aspek pengurusan teknologi, pembangunan produk dan logistik komersial.

Seemntara itu, Dr. Maheera berkata, beliau sangat gembira dengan sambutan positif ini.

Menurutnya, penghasilan produk bernilai dari sisa industri seperti pressmud bukan sahaja menyelesaikan masalah pengurusan sisa, malah membuka pintu kepada industri baru yang mesra alam.

“Kolaborasi dengan SWCorp dan MSM akan mempercepatkan proses pematangan teknologi dan pemasaran produk ini,” katanya.

Kerjasama tiga hala ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri hijau tempatan, menyokong aspirasi Malaysia MADANI ke arah inovasi mampan dan pembangunan seimbang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button